PENGAMBILAN pemakanan yang tidak sihat seawal usia kandungan menjadi antara faktor kelahiran bayi yang mempunyai masalah autisme semakin meningkat, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Khas Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr M Kannamah. Beliau berkata masalah autisme bukan berpunca daripada genetik semata-mata, namun ia berkait rapat dengan faktor luaran seperti pemakanan yang diambil oleh ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. "Ibu muda sekarang gemar makan makanan bergoreng terutamanya makanan segera seperti sosej dan burger yang kita tahu sangat tidak sihat kerana mengandungi bahan pengawet yang tinggi dan boleh mengakibatkan toksik dalam badan menjadi tinggi. "Apabila ia diambil lagi-lagi di awal usia kandungan, secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kandungan seperti mendapat anak yang mempunyai masalah autisme itu sendiri," katanya kepada Bernama selepas sesi forum sempena Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019. Dalam pada itu, Kannamah turut menjelaskan bahawa pemakanan yang diambil oleh kanak-kanak autisme turut mempengaruhi tingkah laku mereka menjadi lebih agresif ataupun sebaliknya. Kannamah berkata, melalui kajian Gluten Free Casein Free (GFCF) yang pernah dijalankan ke atas kanak-kanak autisme pada 2014, mereka perlu mengelak daripada mengambil makanan yang berasaskan gandum dan tenusu kerana ia terbukti mempengaruhi tindak balas dan tingkah laku kanak-kanak tersebut. "Melalui kajian tersebut, didapati sekiranya mereka mengamalkan pemakanan susu dan gandum ia akan menyebabkan kanak-kanak tersebut sukar untuk kentut, perut kembung, cirit-birit yang akhirnya mendorong mereka menjadi tantrum (buat perangai) seperti menjerit dan meraung. "Sekiranya kita keluarkan makanan yang mengandungi bahan-bahan gandum dan juga berasaskan susu dari diet kanak-kanak, kita mampu melihat perubahan khususnya dalam aspek tingkah laku mereka sekali gus membolehkan mereka lebih fokus untuk mendengar arahan dan memudahkan proses pendidikan terhadap diri mereka," jelasnya. Oleh itu, Kannamah menasihati agar masyarakat menghentikan pengambilan makanan ringan dan semua makanan pengawet serta mempunyai perasa tambahan kerana ia akan menjejaskan kualiti hidup seseorang bukan sahaja terhadap kanak-kanak autisme itu sendiri. "Kamu adalah apa yang kamu makan, makanan kamu adalah ubat kamu. Jadi, makanlah makanan yang berkhasiat dalam menjalani kehidupan seharian," katanya.- BERNAMA