BERMULA dengan kritikan badan berbau busuk, akhirnya lelaki ini mencari pemuda autisme bernama Adam. Pengasas program aplikasi telefon pintar Zainal Akla Shamsudin mendedahkan dia pernah melakukan kesilapan besar terhadap seorang pemuda autisme. Zainal Akla atau lebih dikenali dengan panggilan Akla merupakan pengasas program aplikasi Akla dan Akla Buddy yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada masyarakat yang kini mencatat lebih 10,000 ahli. ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas aplikasi Akla bangga jadi rakyat Malaysia pertama tercalon Anugerah Beta Gamma Sigma Berkongsi mengenai kejayaan yang dikecapinya sekarang, Akla mengaku salah satunya adalah doa Adam yang dalam lingkungan umur 20-an. Menurut Akla, dia memang tidak mengenali Adam, tetapi pemuda itu telah memberi kesan besar dalam kariernya sepanjang tiga tahun ini. Akla, 44, memberitahu dia tiba-tiba termenung mengimbas kembali perjalanan hidupnya dan bayangan Adam muncul dalam fikiran. Akla bersama dua anak angkatnya, Afina dan Danish (depan). “Tiga tahun lalu, saya menaiki sebuah pesawat dari Kota Bharu untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri mesyuarat di sana. Ketika itu dalam hati terdetik hanya mahu lelapkan mata sahaja sepanjang penerbangan itu. “Namun tiba-tiba hidung terhidu bau badan yang tidak menyenangkan sekaligus sedikit mengganggu keselesaan saya untuk berehat dalam pesawat itu. “Dalam hati saya berkata, bau badan tak reti nak jaga ke? Pengotor sangat kau ni. Selepas itu saya nampak dia membelek-belek majalah dan menumpukan kepada halaman replika pesawat. Ketika itu saya duduk di barisan tengah tepi tingkap, manakala dia duduk di kerusi depan saya. “Sebaik sahaja kapal berlepas, saya dengar dia menjerit bubbai atok…bubbai nenek…bubbai mak uda, dan ketika itu barulah saya sedar dia insan istimewa,” kongsinya kepada mStar. Jelas Akla, dia berasa sangat bersalah kerana terlalu cepat membuat andaian terhadap orang lain tanpa mengetahui hal sebenar. “Memang saya rasa sangat bersalah. Sepanjang perjalanan ibunya tidak pernah penat melayannya seperti kanak-kanak berusia lima tahun. Apabila dia ketawa, saya boleh lihat kebahagiaan terpancar di wajah ibunya itu. Saya cuba meredakan rasa bersalah dengan membeli replika kapal terbang tanpa pengetahuan dua beranak itu. ZAINAL AKLA SHAMSUDIN CEO AKLA dan AKLA BUDDY= “Saya cuba meredakan rasa bersalah dengan membeli replika pesawat kapal terbang tanpa pengetahuan dua beranak itu. Sebenarnya ibu Adam sudah membuat tempahan untuk beli mainan kanak-kanak. “Saya belikan juga replika itu dengan harga lebih RM100 dan saya pesan kepada pramugari bertugas untuk tidak beritahu siapa yang berikan kepada Adam. Tambahnya lagi, kedua beranak itu terkejut menerima replika itu dan insan istimewa itu pantas bertanya ibunya kenapa dia menerima barangan itu dan jawab ibunya: "Sebab Adam budak baik, Adam dapat hadiah.” “Ketika itu saya nampak jelas wajah seorang ibu yang tenang dan gembira kerana melihat anaknya ceria. “Dan sebelum kami turun, saya dengar wanita itu beritahu Adam supaya berdoa dalam solat untuk orang yang beri hadiah ini. Saya ada dengar Adam berkali-kali ulang cakap nak solat, nak berdoa, pukul berapa dan di mana,” luah Akla. Menurut Akla yang berasal dari Lambor Kanan, Parit, Perak sehingga kini masih tergiang-giang kata-kata Adam. Akla menaiki pesawat Air Asia dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur AK 6437 pada 10 September 2017. “Ketika itu juga air mata saya jatuh sayu. Sedih kerana fikiran negatif saya terhadapnya sebelum ini. Saya yakin dan percaya, anak-anak istimewa seperti Adam akan buat apa yang mereka cakap. “Memang tidak nafikan, selepas kejadian itu saya terkesan dan apa yang saya pelajari jangan sesekali cepat judge orang. Kalau tidak ada benda baik nak cakap, baik diam. “Tempoh tiga tahun untuk saya berkongsi kisah ini kerana hari ini baharu saya sedar perjalanan karier saya sangat lancar selepas pertemuan dengan Adam itu. Saya tak kaya, tetapi rezeki tidak pernah putus untuk membantu orang lain. “Saya yakin, selain daripada usaha, sokongan pelbagai pihak doa-doa daripada golongan seperti Adam lebih bermakna. “Saya ingin mencari Adam. Saya nak peluk. Saya nak cakap terima kasih kepadanya kerana mengajar saya sesuatu yang penting, tapi saya tidak tahu di mana Adam. “Kali terakhir kami menaiki pesawat sama, AK 6473, 10 September 2017 pukul 2.35 petang dari KB ke KL,” ujarnya yang berharap dapat dipertemukan dengan anak syurga itu satu hari nanti.