SETIAP tahun, Oktober dipilih sebagai bulan kesedaran kanser payudara dan ia sering mendapat sambutan baik di pelbagai peringkat. Pelbagai kempen digerakkan bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah ia turut mendapat penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memberi kesedaran kepada wanita mengenai pembunuh nombor satu golongan berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Oktober datang lagi... Ayuh tingkatkan kesedaran kanser payudara sambil menderma! ARTIKEL BERKAITAN: Usah malu dilabel tidak waras, segera dapatkan rawatan! Ketahui 10 tanda alami sakit mental Sebagai wanita, pastinya usaha akan dilakukan untuk mengambil tahu seberapa banyak informasi terutama berkaitan langkah pencegahan supaya terhindar daripada menjadi salah seorang mangsa. Bagaimanapun, terdapat beberapa mitos yang masih dipegang dan terus disebarkan dari mulut ke mulut berhubung penyebab kanser payudara, sekaligus mewujudkan kekeliruan. Jom ambil tahu 10 mitos kanser payudara sebagai panduan agar anda tidak terus diselubungi kekeliruan. Tidak ada bukti yang meyakinkan mengenai kaitan antara kanser payudara dengan deodoran, bahan anti peluh atau kandungannya. 1. Deodoran atau bahan anti-peluh Dakwaan kononnya penggunaan deodoran atau bahan anti peluh meningkatkan risiko kanser payudara telah ditularkan sejak dahulu lagi. Sesetengah orang juga mendakwa aluminium dalam bahan anti peluh boleh meningkatkan risiko. Bagaimanapun, tidak ada bukti yang meyakinkan mengenai kaitan antara kanser payudara dengan deodoran, bahan anti peluh atau kandungannya. 2. Bra berdawai Ada dakwaan kononnya pemakaian baju dalam yang mempunyai dawai boleh menyekat aliran cecair limfa di payudara, dan menyebabkan toksin terkumpul di kawasan itu. Bagaimanapun, tidak ada bukti yang boleh dipercayai untuk menyokongnya. Sekiranya bra anda terlalu ketat atau terlalu kecil, dawai berkenaan hanya menyebabkan ketidakselesaan pada payudara. Oleh itu, anda wajar mengetahui apakah baju dalam yang sesuai mengikut saiz payudara masing-masing. 3. Pukulan atau ramasan Kecederaan seperti jatuh atau dipukul di dada, tidak akan menyebabkan kanser payudara. Begitu juga sekiranya memicit atau mencubit payudara. Perkara-perkara ini hanya boleh menyebabkan lebam dan bengkak pada payudara. Bagi sesetengah kes, kecederaan boleh menyebabkan benjolan (bukan kanser) yang dikenali sebagai nekrosis lemak. Ini adalah tisu parut yang boleh terbentuk apabila badan secara semula jadi membaiki tisu payudara lemak yang rosak. Tekanan hanya boleh dikaitkan dengan risiko kanser payudara jika ia disertai dengan gaya hidup tidak sihat seperti seperti kurang aktif atau pengambilan alkohol. 4. Stres Tidak ada bukti muktamad bahawa tekanan atau stres boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Beberapa kajian telah meneliti kaitan antara tekanan dan kanser payudara, tetapi tidak ada bukti mencukupi untuk mangaitkannya. Tekanan hanya boleh dikaitkan jika ia disertai dengan gaya hidup tidak sihat seperti kurang aktif atau minum alkohol, yang dapat meningkatkan risiko kanser payudara. 5. Tindik puting Begitu juga tidak ada bukti bahawa puting yang ditindik meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara. Bagaimanapun, kawasan yang ditindik berisiko terkena jangkitan sewaktu proses menindik dan jangkitan juga boleh berlaku sekiranya aksesori dipakai terlalu lama di puting. 6. Telefon bimbit Tidak ada bukti bahawa radiasi dari telefon bimbit mempunyai kesan dalam meningkatkan risiko kanser payudara. Sesetengah orang bimbang gelombang daripada telefon bimbit memberi kesan kepada kesihatan, terutamanya jika mereka menyimpan telefon di dalam poket. Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti bahawa gelombang daripada telefon bimbit menyebabkan kanser payudara. Wanita perlu mengambil tahu seberapa banyak informasi selain kerap melakukan pemeriksaan sebagai langkah pencegahan agar terhindar daripada menjadi salah seorang mangsa kanser payudara. 7. Rawatan IVF Tiada bukti bahawa rawatan IVF memberi kesan dalam meningkatkan risiko kanser payudara. Malah, wanita yang telah menerima rawatan IVF dibuktikan tidak mempunyai kecenderungan untuk mendapat kanser payudara berbanding wanita yang tidak menjalani IVF. Bagaimanapun, IVF adalah prosedur yang agak baharu dan penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk memastikan kesannya kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. 8. Pengguguran janin Beberapa kajian sebelum ini mencadangkan bahawa pengguguran dapat meningkatkan risiko kanser payudara. Namun kajian yang telah ditambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan keputusan yang sebaliknya. 9. Bahan kimia Tidak ada bukti konklusif bahawa pendedahan kepada bahan kimia dalam alam sekitar meningkatkan risiko kanser payudara. Banyak kajian telah meneliti kaitan antara kanser payudara dan bahan kimia dalam alam sekitar seperti racun perosak, asap kenderaan dan plastik, tetapi tidak ada bukti yang jelas mengenai kaitan antaranya. 10. Shif malam Penyelidikan terkini mendapati individu yang bekerja shif malam tidak terlalu cenderung terdedah kepada risiko kanser payudara berbanding mereka yang bekerja shif siang.Perlu diketahui bahawa penyakit ini berlaku tanpa mengira jenis pekerjaan mahupun umur seseorang ketika mula bekerja shif malam. - BREASTCANCERNOW