KEADAAN emosi, fizikal dan mental yang tidak stabil serta keletihan emosi boleh menyebabkan degupan jantung terhenti. Menurut satu kajian terbaharu, faktor tekanan kerja juga boleh membawa kepada risiko berbahaya tersebut. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, jenis keletihan yang panjang atau dikenali burnout, adalah sindrom yang disebabkan oleh stres dengan kerja kronik yang berpanjangan. ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! Golongan milenial... anda terdedah kepada penyakit ini Sekumpulan penyelidik dari University of Southern California, Amerika Syarikat mendedahkan punca kemurungan disebabkan oleh perasaan rendah diri, rasa bersalah serta terlalu memikirkan harga diri. Keletihan berpanjangan boleh membawa maut. Kajian yang dilakukan ini melibatkan 11,000 individu dewasa yang mengalami keletihan, kemarahan, penggunaan anti depresi serta kurang mendapat sokongan sosial dan mereka (pengkaji) mengambil tempoh 25 tahun mengikuti perkembangan golongan tersebut. Kajian tersebut telah diterbitkan dalam sebuah jurnal Penyelidikan Kardiologi Eropah ini juga mendapati mereka yang berdepan dengan masalah sistem degupan jantung yang tidak teratur atau kadar denyutan laju yang boleh meningkatkan risiko strok, kegagalan jantung, dan komplikasi jantung yang lain. Hasil kajian ini juga mendapati, peserta yang mengalami tahap keletihan serius mempunyai 20 peratus lebih tinggi berdepan dengan risiko degupan jantung tidak normal berbanding mereka yang tidak mempunyai masalah keletihan. "Keletihan dikaitkan dengan peningkatan keradangan dan meningkatkan pengaktifan tindak balas tekanan fisiologi badan," jelas salah seorang penyelidik Parveen K. Garg. Keletihan emosi akibat bekerja juga boleh memberi risiko jantung terhenti. "Kedua-dua perkara ini berlaku secara kronik yang boleh membawa kesan serius dan merosakkan tisu jantung, yang akhirnya dapat membawa kepada perkembangan aritmia (pergerakan jantung tidak normal) ini," tambah Garg. Selain keletihan emosi boleh menyebabkan serangan jantung dan strok, kajian juga menemui kesan pembuangan lemak berdepan dengan risiko degupan jantung yang tidak teratur. "Penting untuk mengelakkan diri daripada berada dalam keadaan keletihan berpanjangan malah perlu bijak menguruskan tahap tekanan diri bagi memastikan kesihatan kardiovaskular," tambah Garg.