UMUM mengetahui tabiat merokok membahayakan kesihatan, malah pelbagai usaha telah dilakukan pihak kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. Ini termasuklah bungkusan kotak rokok disertakan gambar ngeri akibat tabiat merokok, selain peringatan kepada si perokok. Pun begitu, masih ramai yang tidak menghiraukan pesanan itu tanpa menyedari keputusan berhenti merokok dapat memberi banyak manfaat kepada tubuh. ARTIKEL BERKAITAN: Serangan jantung bukan lagi penyakit orang tua... Golongan muda beri perhatian 4 perkara ini! 1. Memperbaiki peredaran darah Salah satu manfaat berhenti merokok adalah dapat memperbaiki peredaran darah. Tahukah anda, 20 minit selepas anda berhenti merokok, degupan jantung akan menurun dan kembali normal. Tekanan darah perokok juga akan menurun dan peredaran darah menjadi lebih baik. Ia sekali gus membuatkan aktiviti harian anda menjadi lebih mudah serta mengurangkan risiko penyakit jantung. 2. Deria rasa lebih baik Salah satu kesan merokok adalah deria rasa seseorang akan menurun dan berhenti merokok dapat mengembalikan deria anda ke tahap normal. 3. Menghindarkan masalah sinus Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Otalaryngology pada 2017 mendapati perokok mempunyai risiko menghidap masalah sinus kronik lebih tinggi berbanding individu biasa. 4. Fungsi seksual tidak terganggu Setiap sedutan rokok mampu mengganggu dan merosakkan fungsi seksual seseorang termasuk wanita. Bagi lelaki, ia biasanya dikaitkan dengan masalah mati pucuk. Ini kerana, tabiat merokok mampu mempengaruhi pengaliran darah ke zakar. Aliran ini sangat penting untuk membolehkan zakar ereksi namun kandungan zat kimia pada rokok boleh mempengaruhi pengaliran darah ke bahagian itu. Kajian yang dilakukan oleh American Journal of Epidemiology mendapati, lelaki yang mempunyai masalah itu akibat merokok dapat pulih seperti sedia kala selepas meninggalkan tabiat itu. Bagi wanita pula, merokok dapat mengakibatkan pengurangan penghasilan cecair pada vagina dan orgasma. 5. Menguatkan sistem imunisasi Sistem imunisasi dapat menghindarkan seseorang daripada penyakit dan antara cara meningkatkan imunisasi badan adalah dengan berhenti merokok. Ia berbalik kepada meningkatkan peredaran darah dan kadar oksigen selain menurunkan risiko radang dan inflamasi - sekaligus meningkatkan daya tahan tubuh seseorang. 6. Merendahkan risiko kanser Umumnya perokok dikaitkan dengan kanser paru-paru. Tapi tahukah anda, berhenti merokok bukan sahaja mampu mengurangkan risiko penyakit itu malah kanser pundi kencing. Ini kerana tabiat merokok mampu meningkatkan pengumpulan bahan kimia berbahaya pada urin yang seterusnya boleh merosakkan pundi kencing. 7. Mulut dan gigi lebih bersih Jika diperhatikan, perokok memiliki gigi kuning dan bau nafas yang kurang enak. Jika ingin gigi cantik dan putih, berhentilah merokok. Jika tak percaya, cuba perhatikan dalam masa seminggu, anda akan nampak kesannya.