suria

Pesakit Covid-19 sembuh, tapi masyarakat jangan terlampau selesa!

Malaysia terus giat memantau penularan wabak Covid-19. Foto BERNAMA

SETAKAT ini belum ada pesakit baharu Covid-19 di Malaysia dan kekal dengan dua pesakit yang masih dirawat manakala 20 yang lain sudah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun semua pihak termasuk masyarakat diharap tidak terlalu selesa dengan perkembangan terbaharu itu dan terus mengambil langkah berjaga-jaga.

Sehingga hari ini, dua pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital di negara ini, manakala mereka yang masih dirawat dilaporkan dalam keadaan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyebaran koronavirus... Tak salah obses hal kesihatan anak!

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus masih tiada vaksin... jangan ambil mudah, ketahui langkah penting elak dijangkiti

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia kekal 22 kes sehingga 26 Februari 2020, yang mana 15 pesakit berasal dari China, enam rakyat Malaysia manakala seorang warganegara Amerika Syarikat (AS).

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga tarikh berkenaan, jumlah kes Covid-19 di negara ini yang disahkan negatif mencecah sebanyak 946 manakala 36 kes lagi sedang menunggu keputusan makmal.

China mencatat kes kematian tertinggi akibat Covid-19.

Sementara itu, Malaysia telah membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China dengan jumlahnya seramai 66 orang.

Pada 4 Februari lepas, seramai 107 rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan dengan pesawat khas.

Kesemuanya kemudian dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan untuk pemantauan selama 14 hari.

Status wabak Covid-19

Statistik terkini Covid-19 di seluruh dunia seperti tertera di laman web KKM sehingga pukul 8 pagi, 26 Februari (yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia) adalah seperti berikut;

1. 80, 415 kes keseluruhan melibatkan 38 negara.

2. Sebanyak 2,709 kematian dicatatkan di seluruh dunia.

3. China mencatatkan 77,785 kes dengan 2,666 kematian.

Covid-19 turut meragut nyawa pengarah Hospital Wuhan, Liu Zhim Ming selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. 

Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei adalah pusat merebaknya Covid-19.

Laporan China Daily/ANN itu menyebut, langkah penyaringan dari rumah ke rumah itu dibuat selepas pihak berkuasa bandar raya berkenaan mengeluarkan notis umum pada 14 Februari bahawa semua komuniti kediaman akan 'dikurung' dan mengurangkan pergerakan orang bagi menyekat penularan Covid-19.

Semua rumah akan diperiksa untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti, kes yang disyaki dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan orang yang dijangkiti virus berkenaan.

Petugas kesihatan di pusat pemantauan di Malaysia.

Lebih mudah berjangkit

Lebih mudah berjangkit... Demikian rumusan kajian menyeluruh ke atas lebih daripada 72,000 kes disah dan disyaki dijangkiti Covid-19 yang dibuat oleh ahli sains China dari Chinese Center for Disease Control and Prevention dan diterbitkan dalam Chinese Journal of Epidemiology pada Isnin 17 Februari.

Antara dapatan kajian kumpulan ahli sains itu ialah Covid-19 adalah lebih mudah berjangkit berbanding virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Memandangkan Covid-19 menjangkiti lebih ramai berbanding virus yang menyebabkan SARS dan MERS, angka kematian juga tinggi.

Wabak SARS dilaporkan membunuh 774 orang sementara MERS, membunuh sekurang-kurangnya 828 orang sejak 2012.

Sementara itu, keadaan dilaporkan gawat di Korea Selatan dengan peningkatan tinggi kes jangkitan Covid-19. Sehingga hari ini (laporan KKM) sebanyak 977 kes melibatkan 10 kematian.

Kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 61 tahun yang mengunjungi Shincheonji Church of Jesus di selatan bandar Daegu.

Wanita ini dilaporkan masih ke gereja berkenaan beberapa kali ketika mengalami demam. Setakat ini lebih 80 pengunjung gereja yang sama disahkan menghidap Covid-19.

Salah seorang pesakit Covid-19 dirawat di China.

Di Iran, agensi berita separuh rasmi ISNA memetik jurucakap Kementerian Kesihatan Iran yang mengumumkan tiga orang lagi disahkan dijangkiti Covid-19.

Ini berlaku selepas dua pesakit pertama diumumkan dikesan positif di bandar Qom pada Rabu 19 Februari. Dua pesakit pertama itu kemudiannya dilaporkan meninggal dunia kerana masalah imun.

Kesemua pesakit adalah rakyat Iran. Di Jepun pula, agensi berita AFP melaporkan dua orang warga emas yang dikuarantin di dalam kapal persiaran Diamond Princess kerana positif dijangkiti Covid-19 meninggal dunia.

Dua yang maut itu ialah penumpang lelaki dan wanita, masing-masing berusia lingkungan 80-an.

Ia adalah kes kematian pertama COVID-19 yang membabitkan 600 orang daripada 3,711 penumpang dan kru dalam kapal persiaran Diamond Princess yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Kapal persiaran itu dikenakan perintah kuarantin selepas berlabuh di pelabuhan di Yokohama, sejak 5 Februari lalu.

Covid-19, Sembuh, Wabak, Malaysia

Artikel Lain