suria

Ramai lega, pakej Prihatin motivasi saat sukar berdepan Covid-19... sampai ada yang doakan kesihatan PM

Pengumuman yang dinanti-nantikan rakyat berkaian dengan pakej yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban sepanjang PKP ini.

DUA minggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pun berlalu dan minggu ini bermulalah fasa kedua #dudukrumah sehingga 14 April ini.

Sejak dua minggu lalu juga, kita telah membaca dan mengikut pelbagai kisah menyayat hati bermula dari barisan hadapan, keluarga mangsa serta kesusahan golongan keluarga yang hilang punca pencarian sejak PKP ini dilaksanakan.

Paling memberi kesan apabila setiap hari ada kematian akibat wabak ini selain ratusan yang disahkan positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Jika terus berdegil ingkar PKP, kita mungkin terpaksa hadapi 3 situasi ini... Sanggupkah anda?

Siapa yang tidak risau atau bimbang dengan wabak penyakit berbahaya ini. Dalam masa sama perlu juga memikirkan rutin harian yang tergendala.

Keputusan kerajaan menerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak 250 bilion membuktikan nasib semua rakyat tidak dipinggirkan.

Muhyiddin mengumumkan Prihatin untuk seluruh rakyat tanpa mengira siapa mereka.

Sumbangan dalam pelbagai aspek ini diharap sekurang-kurang dapat melegakan hati seluruh rakyat Malaysia yang sedia maklum hidup dalam serba kebimbangan.

Sebaik sahaja pengumuman itu berakhir, laman sosial seperti Facebook, Instagram atau Twitter menjadi tumpuan seluruh warganet.

Ada yang meluahkan kesyukuran, rasa lega dan gembira dengan langkah besar kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sememangnya diperlukan sepanjang penularan wabak pandemik Covid-19 ini.

Antara salah satu status yang menarik perhatian; "Aku pening sejak minggu lepas. Dah la gaji kecik, kena cuti. Banyak mulut nak kena jaga. Tapi rezeki Allah. Terima kasih PM. Terima kasih kerajaan. Aku lega," tulis daddyCool di Twitternya.

Sebahagian daripada komen-komen warganet sebaik sahaja perdana menteri mengumumkan Prihatin.

Malah ada juga segelintir yang meluahkan rasa terharu dan mendoakan kesihatan kepada Muhyiddin.

"Terima kasih PM. Semoga terus diberi kesihatan berpanjangan."

Rata-rata rakyat begitu lega dan sekurang-kurangnya beban kesukaran sepanjang tempoh ini dapat dipikul dengan lancar.

Secara ringkasnya, jumlah yang akan disalurkan kepada kumpulan sasar ialah:

1 - Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.Bayaran RM1,000 akan dibayar pada April dan RM600 pada Mei.

2 - Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1000 kepada hampir RM1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 sebulan. Bayaran sebanyak RM500 dibayar pada April dan baki RM500 pada bulan Mei.

3 -  Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan kebawah.Bayaran RM500 akan dibayar pada April dan baki RM300 pada Mei.

Golongan gelandangan juga tidak dipinggir dalam pakej Prihatin.

4 - Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM500 kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 sebulan.Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada April dan baki RM250 pada Mei.

Baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang kepada golongan pelajar institusi pengajian tinggi yang ketika ini turut terkesan.

Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal dengan peruntukan RM25 juta.

Pengumuman Prihatin menarik minat semua rakyat.

Semoga dengan peruntukkan ini, sekurang-kurang dapat melegakan sedikit sebanyak kebimbangan yang dihadapi seluruh rakyat ketika tempoh wabak Covid-19 ni. 

Jadikan peruntukkan ini sebagai motivasi bersama dalam mengekang penularan Covid-19 ini dan paling penting mulakan tanggungjawab anda kepada negara dengan mengikut arahan #dudukrumah.


Pakej, Prihatin, Covid-19, Motivasi, Rakyat, PM

Artikel Lain