SEPERTI mana kita ketahui dunia sedang dilanda penularan virus Covid-19 yang mana ia sangat berbahaya sehingga boleh mengancam nyawa seseorang. Malaysia sendiri tidak ketinggalan dan kita sedia maklum, bilangan kes positif virus itu meningkat hari demi hari. Bagaimanapun inisiatif kerajaan seperti mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April diharap dapat memutuskan rantai penyebaran Covid-19 dalam kalangan masyarakat negara ini. ARTIKEL BERKAITAN: Jika terus berdegil ingkar PKP, kita mungkin terpaksa hadapi 3 situasi ini... Sanggupkah anda? Pegawai perubatan, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum berkata, pergerakan terbatas dan duduk di dalam rumah sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada perasaan dan emosi seseorang seperti berasa sedih dan tertekan memandangkan kebanyakan daripada kita sudah terbiasa dengan aktiviti harian yang sibuk. Apabila ia terhenti untuk satu tempoh kata Dr Che Hafiz, jika seseorang gagal mengawal emosi mereka ketika ini, ia boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. "Bermula dengan perasaan risau seperti mendengar berita tentang pertambahan kematian pesakit Covid-19... Perasaan risau ini lama-kelamaan jika tidak dibendung boleh menyebabkan timbul perasaan sedih sehingga menjejaskan kesihatan mental seseorang," katanya kepada mStar. Justeru, Dr Che Hafiz berkata, adalah sangat penting untuk seseorang menjaga kesihatan mental pada waktu sukar ini dan terdapat beberapa tip boleh dilakukan bagi memastikan perasaan dan emosi berada dalam keadaan baik. 1. Dapatkan maklumat sahih Pastikan diri anda sentiasa mendapat maklumat sahih seperti sumber-sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana informasi palsu boleh membuatkan seseorang itu bertambah cemas dan risau. 2. Eratkan hubungan kekeluargaan, rakan Jika sebelum ini kita sering sibuk dengan pelbagai tugasan harian, rebutlah tempoh PKP ini untuk bertanya khabar keluarga serta rakan anda meskipun tidak dapat berjumpa secara bersemuka. Teknologi hari ini seperti telefon, WhatsApp serta panggilan video boleh digunakan bagi tujuan itu. Komunikasi sangat penting selain anda dapat meluahkan perasaan kepada ibu, bapa atau rakan-rakan yang rapat dengan anda. 3. Pemakanan seimbang Tempoh PKP ini bukan bererti kita boleh lakukan semua perkara sesuka hati termasuk bab makanan. Dengan mengikut kaedah pemakanan yang betul, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan malah memberi kesan baik kepada kesihatan mental seperti pengambilan asid lemak omega-3. 4. Tidur berkualiti Seperti makan, tidur juga sangat penting dan manusia memerlukan waktu tidur sekurang-kurangnya enam ke lapan jam sehari. Ambilah peluang yang ada untuk rehatkan badan dan minda anda. 5. Kerap bersenam Walaupun PKP sedang dijalankan, itu tidak bermakna anda tidak boleh bersenam. Lakukan dan pilihlah jenis senaman yang sesuai dan boleh dilakukan di rumah. Apa-apa pun yang paling penting anda seronok melakukan senaman tersebut. 6. Berfikiran positif Inilah masa untuk melatih diri anda supaya sentiasa berfikiran positif. Elakkan daripada membaca atau mendengar perkara-perkara yang memberikan kesan negatif kepada emosi anda. Ia perkara mencabar, tetapi ia tidak mustahil dan sentiasa tanya pada diri bahawa sekarang adalah masa paling sesuai untuk sentiasa berfikiran positif. 7. Hobi serta ibadah Bagi mengelakkan perasaan risau dan sedih menguasai diri, isi masa lapang anda dengan aktiviti atau hobi berfaedah yang boleh dilakukan dalam rumah seperti melukis, memasak, menulis, bermain alatan muzik atau membaca. Manakala untuk yang beragama Islam, inilah masanya untuk melakukan solat sunat, berpuasa dan membaca al-Quran. Mana tahu, anda boleh khatam, InsyaAllah. Kata Dr Che Hafiz, tip tersebut diharap dapat memberikan manfaat dalam menjaga kesihatan mental selain menjadikan kita seorang lebih ceria dan bersemangat apabila kembali menyambung tugas sejurus PKP berakhir 14 April ini. "Paling penting ketika ini, sama-sama kita patuhi perintah dikeluarkan kerajaan dan sentiasa berdoa agar ujian yang melanda negara kita ketika ini akan berakhir," katanya.