suria

Adakah anda narsisisme? Jom semak punca dan ciri-ciri golongan celaru personaliti ini

Isu kesihatan mental seperti kebimbangan serta kemurungan, yang lazimnya berpunca daripada tekanan yang melampau.

ISU kesihatan mental seperti kebimbangan serta kemurungan, yang lazimnya berpunca daripada tekanan yang melampau semakin mengancam bukan sahaja individu di negara maju, malahan juga di negara sedang membangun seperti Malaysia.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati bahawa seorang daripada tiga orang rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terdedah kepada isu serta permasalahan berkaitan kesihatan mental.

Ini berlaku kerana perkembangan arus pembangunan yang pesat meningkatkan lagi tekanan kehidupan dalam aspek ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tempoh lockdown panjang dijangka sebabkan 7 juta kehamilan secara 'tak sengaja'

Selain isu serta permasalahan kesihatan mental yang lazim diperkatakan ini, isu kewujudan personaliti narsisisme merupakan permasalahan baharu yang dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Faktor perkembangan teknologi

Menurut Pensyarah Kanan (Bimbingan Kaunseling/ Psikologi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Abu Yazid Abu Bakar, perkembangan pesat teknologi dan ledakan era media sosial semasa dilihat sebagai pemangkin kepada berkembangnya kecelaruan personaliti ini dalam kalangan masyarakat tempatan di segenap lapisan dan peringkat umur.

Apa yang membimbangkan ialah isu kesihatan mental ini tidak dianggap sebagai masalah kerana ia sering berlaku dalam keadaan luar sedar ahli-ahli sesebuah komuniti, namun, impak kepada peningkatan jumlah individu narsisistik dalam masyarakat boleh memusnahkan nilai dan jati diri komuniti dalam jangka masa panjang.



Narsisisme sebagai kecendurnagn seseorang indibidu untuk menilai diri sendiri secara berlebihan.

Kisah mitos Greek

Narsisisme berakar umbi daripada cerita mitos Greek tentang seorang pemuda bernama Narcissus yang jatuh cinta kepada imej dirinya sendiri yang terbayang di atas kolam sehingga menghabiskan sebahagian besar masa hariannya di tepi kolam tersebut, dan akhirnya berubah menjadi sekuntum bunga di kolam yang sama. (dinamakan sempena nama beliau).

Berdasarkan cerita mitos ini, persepakatan dalam kalangan ahli psikologi mentakrifkan kecelaruan personaliti narsisisme sebagai kecenderungan seseorang individu untuk menilai diri sendiri secara berlebihan, yang mana individu narsisistik dianalogikan sebagai seorang yang taksub atau terlalu mengagumi diri sendiri tanpa sebarang penjelasan yang rasional ataupun logik.

Ciri-ciri

Antara ciri utama seseorang individu yang berhadapan dengan masalah ini adalah rasa kepentingan diri sendiri yang melampau, keperluan untuk menerima perhatian dan disayangi yang keterlaluan, serta ketiadaan perasaan empati kepada orang lain yang ditunjukkan menerusi tingkah laku memperkecil dan mempersenda orang lain secara berlebih-lebihan.

Lazimnya, individu narsisistik akan berasa kecewa apabila tidak diberi layanan yang dirasakan layak untuknya menyebabkan dia berhadapan dengan pelbagai masalah dalam perhubungan peribadi atau profesional.

Dalam erti kata lain, konsep kendiri keterlaluan ini sering menimbulkan permasalahan budaya dan sosial sehinggakan ia dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental oleh American Psychiatric Association (APA) dan disenaraikan dalam buku panduan ‘Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders’ (DSM) sejak tahun 1968.

Dianggarkan kecelaruan personaliti narsisisme mengancam satu peratus daripada populasi umum dan dalam konteks Malaysia, lebih 300,000 warga tempatan daripada pelbagai latar belakang kehidupan dianggarkan berpotensi untuk mengalami kecelaruan mental ini tanpa disedari, dan ia terus meningkat kebelakangan ini.



Kecelaruan personaliti berkait rapat dengan masalah psikologi.

Oleh kerana gejala narsisisme merupakan isu kecelaruan personaliti individu dalam komuniti, ia hanya boleh dikenal pasti melalui simptom atau tanda-tanda yang bersifat behavioural yang menunjukkan bahawa seseorang individu mula terganggu dengan kewujudan pelbagai tingkah laku, tabiat, atau kelakuan yang pelik dalam kehidupan seharian.

Antaranya adalah perasaan cemburu melampau terhadap orang lain dan dalam masa yang sama percaya orang lain amat cemburukan dirinya, bertingkah laku sombong atau ego yang keterlaluan sehingga memandang rendah terhadap orang lain, tidak boleh mengendalikan kritikan terhadap dirinya dengan rasional serta mengharapkan sentiasa diiktiraf dan dihargai walaupun tanpa keupayaan atau bakat yang memadai.

Selain itu, individu yang mengalami kecelaruan ini juga sering berhadapan dengan kesukaran untuk mengakui kesilapan diri sendiri, di samping bermasalah untuk meminta maaf atau menerima permohonan maaf daripada orang lain.

Kecelaruan personaliti ini juga tidak dapat dikenal pasti secara tuntas tentang puncanya yang kompleks. Namun, majoriti pakar bersependapat bahawa ia berkemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran, genetik, dan neurobiologi.



Masalah kecelaruan mungkin berpunca daripada beberapa faktor termasuk neurobiologi.

Gaya didikan

Dalam hal ini, andaian bahawa kombinasi gaya didikan ibu bapa (ibu bapa yang menyokong atau mengkritik anak-anak secara berlebih-lebihan semasa kecil), ciri yang diwarisi, serta hubung kait antara kapasiti otak dan gaya berfikir/bertingkah laku merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental ini dalam masyarakat.

Selain itu, perubahan gaya hidup yang drastik dalam konteks sosioekonomi dan kemasyarakatan juga berpotensi menyumbang kepada peningkatan kelompok individu narsisistik dalam komuniti.

Satu-satunya bentuk rawatan yang disaran untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah kecelaruan mental luar sedar ini adalah terapi bercakap atau perkhidmatan kaunseling secara terancang. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain