suria

Kerap turun-naik penimbang ketika proses nak kurus, betul ke pagi waktu terbaik timbang berat badan?

Pagi adalah waktu terbaik untuk menimbang berat badan anda.

BAGI yang sedang dalam proses menurunkan berat badan, perkara biasa jika timbul keinginan untuk menimbang berat badan dengan kerap.

Sebenarnya, anda tidak perlu selalu naik atas penimbang. Sebaliknya hanya perlu tahu bahawa ada waktu terbaik untuk mengetahui berat badan iaitu waktu pagi ketika perut kita masih kosong.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Duduk terlalu lama bukan hanya buatkan punggung anda kendur, tapi masalah lebih serius!

Untuk pembacaan angka yang tepat, timbanglah sebelum anda makan atau minum dan sebaik-baiknya selepas membuang air besar.

Tapi, perasan tak berat badan kita akan berubah-ubah sepanjang hari (jika anda kerap menimbang)? Itu adalah normal, malah berat badan kita akan meningkat di antara 500 gram ke satu kilogram bergantung kepada makanan atau aktiviti anda lakukan pada hari tersebut.

Berat badan akan lebih rendah pada waktu pagi berbanding waktu lain dan antara penyebabnya termasuklah;



Bacaan berat badan lebih tepat pada waktu pagi.

1. Dehidrasi

Tubuh kita lebih cenderung mengalami dehidrasi pada waktu pagi sebab selama tujuh ke lapan jam semasa kita tidur, kita tidak makan atau minum.

Selain itu, semua air yang disimpan dalam tubuh akan hilang selama kita tidur. Malah dehidrasi ringan sekali pun akan menyebabkan penurunan berat badan meskipun sedikit.

Minum dua hingga tiga gelas air sebelum tidur mampu mencegah dehidrasi.

2. Retensi air

Retensi air dalam tubuh berlaku kerana kehadiran natrium dan karbohidrat yang tinggi. Ia biasanya menyebabkan perut rasa kembung yang dapat menambahkan berat badan.

Pada waktu pagi, perut kita biasanya kosong dan air dalam tubuh akan hilang melalui peluh, pernafasan dan membuang air kecil. Kerana faktor-faktor itu, tubuh kita jadi lebih ringan.

Jadi, jika ingin mengetahui berat badan sebenar anda selepas berhempas pulas bersenam dan mengamalkan diet, timbanglah pada waktu pagi ya!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain