suria

Degupan jantung perlahan ketika duduk bersantai, normal atau perlu bimbang?

Degupan jantung yang baik adalah penting bagi memastikan kita terhindar daripada penyakit lain.

SALAH satu cara terpantas dan mudah untuk mengukur kesihatan jantung kita adalah dengan memeriksa degupan jantung ketika sedang berehat atau dikenali sebagai 'resting heart rate' (RHR).

Degup jantung adalah sangat penting sebagai pengukur kepada beberapa keadaan seperti tekanan darah, stres dan kualiti tidur.

Ketika sedang berehat, degupan jantung kita akan lebih perlahan berbanding ketika kita melakukan aktiviti tertentu dan ia berbeza untuk setiap orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuatnya bunyi, letih sangat tu! Awas... Kenali 3 gejala berdengkur yang berbahaya

Bagaimana jika degupan jantung terlalu perlahan ketika kita dalam keadaan santai? Patutkah kita bimbang akan hal itu?



Tekanan juga boleh menyebabkan perubahan degupan jantung.

"Secara umumnya, degupan jantung ketika berehat adalah normal jika berada di antara 60-100 degupan setiap minit (BPM)," kata Dr Brian Mikolasko yang juga pakar perubatan di Fakulti Warren Alpert, Universiti Brown, Amerika Syarikat.

Jelas Dr Brian, terdapat beberapa faktor berbeza yang mempengaruhi degupan jantung ketika berehat bagi setiap individu termasuk faktor usia dan latar belakang.

"Degupan jantung ketika berehat yang normal adalah berbeza bagi kanak-kanak. Sehingga usia mereka mencecah sebulan, degupan jantung mereka sekitar 70-190 BPM.

"Bagiamanapun bacaan itu akan menurun ketika mereka mencapai usia 9 tahun, antara 70-110 BPM. Ketika usia mencapai 10 tahun dan ke atas, degupan jantung sebanyak 60-100 BPM," jelasnya.

Dalam pada itu, degupan jantung bagi atlet ketika dalam keadaan normal adalah 38 atau 42 BPM namun bacaan itu boleh dikategorikan sebagai tidak normal bagi seseorang yang hanya melakukan aktiviti sukan biasa.



Sebelum bersenam, sebaik-baiknya periksa degupan jantung anda terlebih dahulu agar tidak berlaku sebarang masalah ketika bersukan.

Dr Brian turut menyarankan agar sebelum bersenam, sebaik-baiknya ukur degupan jantung terlebih dahulu kerana bacaannya akan berubah ketika kita bersukan.

Jika bimbang degupan jantung anda ketika dalam keadaan normal terlalu perlahan, sebaik-baiknya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kepastian.

Dr Brian turut menyarankan agar melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya degupan jantung secara konsisten berada di bawah 60 BPM.

Jelasnya, jika mengalami gejala seperti degupan jantung perlahan dan tidak teratur, sakit dada, pengsan atau sesak nafas - adalah waktu terbaik ke hospital.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Jantung, degupan, kesihatan, bersukan, normal

Artikel Lain