suria

Makan sampai sengkak perut? Tak perlu risau, duduk termenung mungkin mampu buat anda rasa lega

Makan terlalu kenyang memang boleh membuatkan perut rasa tidak selesa selain mengantuk.

KALAU ibu atau isteri masak makanan kegemaran, mana mungkin kita hanya melihat dan ambil baunya sahaja bukan?

Memang selalunya kita akan 'balun' sampai kenyang sehingga kadang-kadang sengkak perut dan tersandar di kerusi kerana kekenyangan. Malah ada yang buka butang seluar kerana terlalu kenyang.

Jika ada antara kita sering mengalami situasi begitu, apa yang patut dilakukan?

ARTIKEL BERKAITAN: Antara susu kambing dan susu lembu, mana lebih berkhasiat?

Pakar diet, Melissa Meier memberitahu situasi itu sebenarnya boleh mengajar kita agar lebih berhati-hati seperti melatih kadar kelajuan makan, mengawal jumlah serta peka terhadap isyarat lapar dan kenyang.

Bagaimanapun, kata Melissa, biasanya jika makanan sudah berada di depan mata, kita pasti akan terlupa akan hal tersebut dan situasi sama akan berulang kembali tapi ada cara mengurangkan rasa sengkak perut termasuklah;



Ada sampai tertidur apabila perut terlalu kenyang.

1. Lakukan gerakan ringan

Apabila kenyang memang boleh buat kita bersandar di kerusi namun sebaik-baiknya cubalah buat gerakan ringan bagi mengurangkan rasa kembung pada perut.

Tidak perlu berlari serta merta bagi membakar kalori namun cukup sekadar buat regangan atau jalan setempat bagi membantu sistem pencernaan tetap bergerak. Ulang langkah tersebut sehingga perut rasa lebih selesa.

2. Termenung

Termenung mungkin tidak memberikan impak, tetapi sangat penting untuk jangka masa panjang malah sangat mudah dilakukan apatah lagi selepas kekeyangan!

Sambil duduk termenung itu, fikir juga berapa kali anda makan sehingga lupa diri - jika sekali sekala, ia mungkin bukan masalah besar namun jika sebaliknya - inilah masanya untuk merenung apa akan terjadi kepada kesihatan anda.

Mungkin dalam termenung itu anda dapat perbaiki hubungan anda dengan makanan.



Perut sengkak memang tak selesa tapi dari segi positifnya ia mampu menimbulkan rasa kesedaran dalam diri kita.

3. Kesedaran

Ketika merenung kembali apa telah anda makan, ia mungkin menerbitkan rasa bersalah dan peluang ini juga perlu diambil untuk pupuk kesedaran dalam diri.

Fikir kembali, adakah anda makan berlebihan kerana ia begitu enak atau kerana dimasak oleh orang tersayang, mungkin juga kerana anda benar-benar lapar?

Siapa tahu sebenarnya rasa lapar itu adalah hanya signal anda ingin minum air atau mengunyah sesuatu kerana emosi berada dalam keadaan tertentu - sedih, tertekan, gembira dan kebosanan.

Dalam keadaan terlalu kenyang sehingga sengkak perut sebenarnya bukanlah sesuatu hal yang teruk sebaliknya ia boleh membuatkan anda berfikir tentang apa yang baik dan buruk.

Pada akhirnya, kita perlu sedar bahawa pemakanan tidak sihat dan berlebihan dapat mengundang pelbagai bahaya kepada kesihatan.

Jadi selepas ini, jika berada dalam keadaan itu - fikirkan tiga perkara tersebut, mana tahu ia dapat mengubah tabiat pemakanan anda.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
makan, famili, kesihatan, diet, pemakanan sihat

Artikel Lain