RAMAI daripada kita yang berhenti mengambil makanan berkarbohidrat ketika sedang mengamalkan diet selain menganggap ia punca utama obesiti. Tidak disangkal, berat badan akan turun dengan lebih cepat apabila kita berhenti mengambil karbohidrat seperti nasi atau pun roti.ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Makan dalam keadaan marah mungkin boleh legakan emosi, tapi dalam diam ancam kesihatan Namun seperti diet yang ekstrem, pola pemakanan rendah karbohidrat juga memberikan kesan sampingan. Pakar pemakanan, Kristin Kirkpatrick menjelaskan kesan sampingan yang dimaksudkan adalah; 1. Sakit kepala Ketika kita berhenti mengambil karbohidrat, tubuh perlu menyesuaikan diri untuk menggantikan bahan bakar dalam badan kita. Kesannya, kita mungkin akan mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya untuk beberapa hari namun ia akan hilang selepas tubuh mula terbiasa dengan situasi baharu itu. 2. Lesu Anda mungkin akan rasa lesu dan gementar. Alasannya sama, tubuh kehilangan bahan bakar utama yang biasa digunakan untuk menghasilkan tenaga. 3. Kekejangan otot Kekejangan otot juga boleh terjadi ketika anda tidak lagi mengambil makanan berkarbohidrat. Ini kerana, tubuh mungkin mengalami dehidrasi, kekurangan potasium, magnesium dan sebagainya. Kristin menyarankan agar menggantikan kekurangan nutrisi tersebut dengan sumber lain selain minum air secukupnya. 4. Sembelit Berhenti mengambil karbohidrat terutama karbohidrat kompleks, sama sahaja dengan berhenti makan makanan berserat tinggi. Ini sebabnya ramai yang mengalami sembelit atau cirit-birit. Sembelit adalah salah satu kesan sampingan yang paling umum terjadi, menambah sayur-sayuran dan kekacang dalam diet boleh membantu mereka yang sedang berdiet. 5. Ruam Kesan sampingan ini jarang terjadi tetapi ia agak biasa dalam kalangan orang Asia. Bagaimanapun seperti kesan-kesan yang lain, ia kebiasaannya tidak teruk dan akan sembuh selepas beberapa hari. Sebenarnya sangat penting untuk mengetahui diri sendiri sebelum mengamalkan sesuatu bentuk diet dan kesannya terhadap tubuh kita. Sebab itu, sangat disarankan agar berjumpa dengan pakar pemakanan sebelum melakukan sebarang diet. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!