suria

Jangan ambil risiko... Kurang makan sayuran, buah-buahan antara punca kanser kolon

Kanser Kolon bukan lagi penyakit orang tua tetapi boleh menyerang sesiapa sahaja.

JUMAAT lalu dunia hiburan Hollywood dikejutkan dengan berita kematian aktor Chadwick Boseman selepas empat tahun menderita akibat kanser kolon.

Kanser kolon adalah jenis barah yang menyerang pada bahagian usus besar. Sehingga kini, tidak diketahui secara jelas dan penyebab seseorang itu menghidap kanser.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecil tapi power! Kacang pea bantu kurang risiko kanser, cegah diabetes... ambil setengah cawan pun dah OK!

Namun, kurang pengambilan makanan seperti sayur-sayuran hijau, jarang bersenam dan merokok antara faktor berlakunya kanser ini.



Dunia hiburan dikejutkan dengan kematian Chadwick selepas empat tahun menderita kanser kolon.

Kanser kolon biasanya menyerang individu yang sudah berusia namun kini faktor usia bukan lagi penyebab kepada penyakit itu kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja.

Oleh kerana itu, amat penting bagi kita untuk mengetahui cara mencegah kanser ini.

1. Makan lebih banyak sayuran dan buah-buahan

Sebaik-baiknya makan lebih banyak sayuran, buah-buahan dalam diet kita. Ini kerana kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksidan yang terdapat pada makanan itu mempunyai peranan besar dalam pencegahan kanser.

Kurangkan pengambilan daging merah seperti lembu, kambing termasuk daging yang diproses.

2. Kepentingan vitamin D

Dalam kajian yang dilakukan, kekurangan vitamin D antara faktor berlakunya kanser kolon. Kandungan vitamin itu dalam darah kurang daripada 20 ng/ml membuatkan seseorang itu terdedah kepada kanser.

Manakala mereka yang mempunyai kadar vitamin D lebih daripada 30 ng/ml berisiko rendah terkena kanser kolon.

3. Bersukan

Kurang aktiviti fizikal boleh meningkatkan peluang terkena kanser. Oleh sebab itulah, sebaik-baiknya kita disiplinkan diri untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Jika dapat bersenam sebanyak tiga kali seminggu adalah lebih baik.

4. Jaga berat badan

Salah satu cara mencegah kanser kolon adalah dengan menjaga berat badan. Berat yang berlebihan meningkatkan risiko kanser. Atas sebab itu juga, diet dan senaman cukup penting bagi membolehkan anda mendapat berat badan ideal.

Bagaimanapun tidak perlu terburu-buru menurunkan berat badan termasuk mengambil makanan tambahan atau ubat kurus. Sebaliknya, proses itu perlu dilakukan secara teratur.

Ia bukan sahaja boleh mengurangkan potensi mendapat kanser tetapi juga mencegah penyakit lain seperti diabetes dan darah tinggi.

5. Pemeriksaan kesihatan

Kanser boleh diubati sekiranya ia dikesan awal dan sebab itu penting bagi kita untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan kita tidak mempunyai sebarang penyakit berbahaya.

Sekiranya ada, ia boleh dikesan pada peringkat awal sebelum kanser merebak ke tempat lain dalam tubuh.

Golongan berumur 50 tahun ke atas, ada sejarah keluarga, mempunyai masalah perut, obesiti, tidak bersenam dan merokok perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Bagi mengesan kanser kolon, beberapa cara boleh dilakukan iaitu pemeriksaan darah, ujian fecal immunochemical atau FIT (mengesan kanser kolon menerusi darah daripada bahagian usus besar) dan ujian FIT-DNA.

Terdapat juga ujian pemeriksaan usus besar menggunakan colonscopy, flexible sigmoidoscopy dan CT colonography.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain