suria

Sedapnya satay, kambing golek... tapi betul ke makanan yang dibakar penyebab kanser?

Makanan yang dibakar bukan punca kanser tetapi ia meningkatkan risiko terkena penyakit itu.

TIDAK dinafikan kes kanser terus meningkat setiap tahun dan paling membimbangkan semakin ramai golongan muda menghidap penyakit itu.

Salah satu penyebabnya kerana pola pemakanan tidak sihat memandangkan ramai antara kita lebih cenderung memilih hidangan yang enak berbanding berkhasiat.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke betik boleh bantu lawas buang air besar? Ini jawapannya

Padahal terdapat beberapa jenis makanan 'enak' tanpa disedari boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser kerana kandungan karsinogen yang terdapat di dalamnya.



Kita harus mengurangkan pengambilan makanan tidak sihat.

Ini termasuklah makanan yang dibakar seperti satay, ayam bakar, kambing golek dan sebagainya. Selain itu, masyarakat hari ini juga lebih gemar makanan diproses.

Pakar Onkologi, Dr Fiastuti Witjaksono menjelaskan, makanan yang dibakar atau diproses itu dapat menyebabkan protein dan lemak berubah menjadi karsinogenik.

"Ia mampu meningkatkan risiko kanser, tapi bukan penyebab," jelasnya.

Dr Fiastuti menjelaskan, angka kanser terutama payudara menunjukkan peningkatan disebabkan pengambilan makanan yang diproses terlalu kerap.



Satay memang sedap tapi menikmatinya biarlah berpada-pada.

Makanan lain yang patut dikurangkan termasuklah daging merah. Ini kerana beberapa penelitian yang dilakukan mendapati ia dapat meningkatkan risiko kanser terutamanya kanser kolorektal dan kanser usus besar.

Sementara itu, sebagai langkah mencegah kanser, Dr Fiastuti menyarankan agar kita mengamalkan pemakanan dengan gizi seimbang.

Ini bermaksud kita harus mengambil pemakanan lengkap karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral selain memperbanyakkan sayur dan buah-buahan dalam diet.

"Sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai zat yang dapat menurunkan risiko kanser tetapi itu bukanlah bererti kita langsung tak makan makanan lain. Ia harus seimbang," katanya. - KOMPAS

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain