suria

Jaga-jaga, 5 makanan ini boleh akibatkan migrain makin teruk!

Sosej antara makanan yang boleh menyebabkan masalah migrain lebih memburuk.

HANYA orang mengalami masalah migrain sahaja yang faham betapa sakitnya kepala apabila ia datang menyerang sampaikan ada yang tidak boleh bangun dan terpaksa mengambil cuti.

Rasa berdenyut dan menyucuk memang menyakitkan sehingga satu kerja tidak boleh dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Susu kunyit, kefir antara minuman dapat tajamkan minda...

Biasanya macam-macam cara dilakukan bagi mengurangkan rasa sakit kepala - makan ubat, ada yang berbaring dan mengetuk kepala bagi melegakan kesakitan.

Sebenarnya terdapat satu cara lain yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa sakit iaitu melalui pemakanan.

Pakar Saraf, Dr. Chythia Armand memberitahu, ketika migrain otak mengalami tekanan yang sangat tinggi.

"Pengambilan makanan tertentu dapat memburukkan sakit kepala anda," katanya.

Dr. Chythia menjelaskan secara dasarnya makanan tidak menyebabkan migrain namun terdapat bahan dan pengawet tertentu di dalam makanan yang boleh menjadi pemicu sakit kepala.

Oleh sebab itu, penting untuk mengetahui bahan-bahan makanan yang boleh memburukkan migrain.

1. Cokelat

Cokelat mengandungi magnesium tinggi yang dapat membantu meredakan kekejangan dan sakit ketika datang bulan. Tetapi, ia juga mampu menjadi penyebab migrain.

"Cokelat mengandungi kafein yang dapat memanjangkan tempoh kesakitan dan mungkin memburukkannya," kata Dr. Chythia.

2. Sosej

Makanan segera ini mengandungi nitrit iaitu pengawet yang berfungsi mencegah pertumbuhan bakteria. Tetapi, kajian membuktikan ia juga dapat mencetus migrain.

"Selain sosej, daging proses juga dapat menyebabkan migrain," ujarnya.

3. Gula yang diproses

Gula yang telah diproses dapat menyebabkan kadar manisan dalam darah meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan pelepasan insulin berlebihan.

"Ketika hal itu terjadi, ia boleh menyebabkan hipoglikemia hasil daripada insulin bekerja secara agresif untuk menurunkan kadar gula dalam badan," jelasnya.

Kenaikan itu kata Dr. Chythia dapat memicu proses pro-inflamasi pada tubuh yang dengan sendirinya mencetuskan migrain.

4. Keju

Keju mengandungi vitamin A, kalsium dan protein yang baik untuk tubuh manusia namun jika makan keju yang sudah lama, ia boleh menyebabkan migrain.

Ini kerana keju lama mengandungi tyramine yang boleh memicu sakit migrain. Semakin lama keju disimpan, kandungan tyramine seperti guoda, feta dan gruyere semakin tinggi.

5. Kafein

Kopi, teh, soda dan minuman bertenaga memang efektif mengurangkan sakit kepala seperti migrain namun pengambilannya dalam jumlah yang terlalu banyak dapat memicu serangan migrain dalam bentuk sakit pada bahagian pinggul.

Selain itu, berhenti mengambil minuman berkafein secara tiba-tiba juga boleh menyebabkan migrain.

"Dalam jangka pendek, kafein dapat membantu mengatasi migrain tetapi hal itu hanya memanjangkan kitaran migrain yang boleh membuatkan seseorang terus mengalami sakit kepala setiap hari," kata Dr. Chynthia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain