suria

Bukan semata-mata gaya hidup... Anak sulung antara 6 faktor lain risiko diabetes

Ada faktor lain yang menjadi pencetus seseorang itu terkena penyakit diabetes tanpa disedari.

ANGKA pesakit diabetes terus meningkat setiap tahun dan salah satu faktor penyebab adalah gaya hidup yang tidak sihat.

Tapi ternyata, ada faktor lain yang turut menjadi pencetus seseorang itu terkena penyakit tersebut dan ramai tidak menyedarinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Diabetes dan Covid-19 ada hubung kait? Ini penjelasan pakar

Berikut adalah enam perkara yang dilakukan setiap hari dan boleh menjadi pemicu kepada diabetes;

1. Penggunaan pencuci mulut

Sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nitric Oxide mendapati penggunaan ubat kumur atau pencuci mulut lebih daripada dua kali sehari dapat meningkatkan risiko pra diabetes atau diabetes.

Umum mengetahui pencuci mulut dapat membunuh bakteria di dalam mulut meskipun ia berfungsi memecahkan nitrat dalam makanan yang masuk ke dalam mulut.

Mekanisme biologi ini sebenarnya membantu metabolisme tubuh manusia dan tanpanya ia dapat mengembangkan risiko diabetes.

2. Sering selsema

Kajian pada 2012 oleh Journal of Virology menemukan virus selsema berpotensi memicu diabetes jenis 1. Ini kerana virus itu boleh mencetus pembentukan sel keradangan.

Keradangan itu dapat mengenali sel penghasilan insulin dan akan menghancurkannya sehingga mempengaruhi metabolisme tubuh.

3. Gangguan tidur

Berdengkur merupakan tanda seseorang itu mengalami masalah sleep apnea. Gangguan tidur itu juga dikaitkan dengan diabetes.

Sleep apnea yang tidak dirawat dapat menyebabkan atau memburukkan kesihatan pesakit diabetes jenis 1 dan 2.

Kajian pada 2014 yang diterbitkan menerusi North American Journal of Medical Sciences menemui sleep apnea mempunyai kaitan dengan rintangan insulin.

4. Pengambilan ubatan tertentu

Individu yang mengalami masalah keradangan seperti rheumatoid arthritis, psoriasis, atau asma sering menggunakan steroid. Dalam jangka panjang, ubat tersebut dapat meningkatkan risiko terkena diabetes kerana ia dapat meningkatkan kadar gula dalam darah.

Gula dalam darah yang tinggi menyebabkan peningkatan kadar insulin yang meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

5. Penggunaan bekas plastik

Sistem endokrin badan manusia menghasilkan hormon yang dapat mengatur kadar glukosa dalam darah. Penggunaan bekas plastik yang tidak selamat boleh mempengaruhi sistem ini.

Kajian pada 2017 yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Research menemukan kaitan di antara phthalates dan diabetes jenis 2.

Phthalates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdapat dalam plastik dan produk isi rumah yang lain. Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 1,500 responden lelaki, 99.6 peratus mempunyai phthalates dalam air kencing mereka.

6. Urutan kelahiran

Anak sulung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes dan perkara itu turut dinyatakan dalam kajian yang diterbitkan menerusi Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism pada 2013.

Kajian itu mengatakan bahawa anak sulung lebih sukar menyerap gula ke dalam badan dan mengalami tekanan darah lebih tinggi pada waktu siang.

Keadaan itu memberi kesan kepada perkembangan diabetes.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain