suria

Dah makan baru sedar roti berkulat... betul ke boleh mati?

Pasti ada di antara kita yang pernah termakan roti yang sudah berkulat.

ROTI adalah antara makanan yang memang sentiasa ada di rumah kerana ia bukan sahaja sedap tetapi mudah disediakan dan boleh dimakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, pasti ada di antara kita yang pernah secara tidak sengaja termakan roti yang telah rosak dan ditumbuhi kulat, bukan?

ARTIKEL BERKAITAN: Jaga-jaga, 5 makanan ini boleh akibatkan migrain makin teruk!

Persoalannya, adakah ia berbahaya bagi kesihatan?

Pakar Gastroenterologi, Pusat Kesihatan Saint John, Amerika, Dr. Rudolph Bedford berkata, termakan makanan yang sudah ditumbuhi kulat tidak mendatangkan bahaya serius apatah lagi menyebabkan kematian.

"Anda tidak akan mati hanya kerana termakan makanan yang sudah berkulat dan paling tidak anda hanya berasa jijik dan memuntahkannya kembali," katanya.



Dalam kebanyakan kes, jika termakan roti yang sudah berkulat ia tidak akan menjejaskan kesihatan.

Pun begitu kata Dr. Rudolph, sekiranya terdapat gejala selain daripada rasa mual, kita disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi memastikan tiada sebarang jangkitan lain.

"Perut kita sebenarnya adalah lingkungan yang kuat, jadi sebahagian besar bakteria dan kulat tidak dapat bertahan," jelasnya.

Bahkan katanya, dalam kebanyakan kes, pesakit tidak akan jatuh sakit.

Sementara itu, Dr. Rudolph memberitahu ada sesetengah orang mungkin akan menunjukkan reaksi elergi kerana beberapa jenis kulat dapat mendatangkan masalah pernafasan.

Jelasnya, keadaan itu bagaimanapun hanya bersifat sementara dan boleh dirawat.

Dr. Rudolph turut menyarankan sebelum membuat pembelian sesuatu makanan periksa tarikh luput serta membeli dalam jumlah yang kecil.

Selain itu pastikan makanan yang mudah rosak disimpan dengan baik selain memastikan tempat penyimpanan adalah bersih.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain