suria

Susah tidur? Cuba ubah diet waktu malam... 4 makanan ini boleh buat anda mengantuk

Teh chamomile dapat membantu kita tidur lebih nyenyak pada waktu malam.

PANDEMIK Covid-19 membuatkan ramai daripada kita dilanda tekanan sehingga akhirnya memberi kesan kepada kesihatan termasuk gangguan tidur.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut seperti mengurangkan penggunaan gajet, meditasi serta bersenam.

ARTIKEL BERKAITAN: Susu kunyit, kefir antara minuman dapat tajamkan minda... kopi juga

Tidak kurang penting adalah memperhatikan menu makan malam anda kerana makanan juga dapat memberi kesan kepada kualiti tidur seseorang.

Berikut adalah empat jenis makanan yang boleh diamalkan pada waktu malam bagi memudahkan anda mendapat tidur yang nyenyak.

1. Kekacang

Kacang seperti badam, pistachio, gajus, walnut dapat meningkatkan kualiti tidur. Hal ini kerana ia mengandungi melatonin yang memberi signal kepada tubuh untuk tidur.

Ini kerana kekacang tersebut kaya dengan melatonin, hormon yang memberi isyarat kepada tubuh untuk tidur. Selain itu, kacang juga mengandungi protein, serat dan lemak penting.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai magnesium dan zink yang mendorong kita untuk tidur. Kajian yang dilakukan turut menunjukkan bahawa makan segenggam kacang setiap hari dapat meningkatkan kadar serotonin, hormon yang membuat seseorang berasa lebih bahagia.

2. Daging Unggas

Ayam, itik, ayam belanda dalam lain-lain daging dalam kategori unggas dapat membantu seseorang tidur dengan lebih cepat dan pada waktunya.

Unggas seperti ayam dan itik kaya dengan protein dan mengandungi asid amino. Salah satunya adalah triptofan yang dapat memicu rasa ingin tidur hasil sintesis hormon melatonin.

Bagaimanapun tubuh manusia tidak menghasilkan triptofan sendiri sebaliknya ia diperoleh daripada makanan. Selain unggas, makanan seperti kacang soya, ikan dan sayuran juga boleh membantu.

3. Pasta

Mungkin ia adalah satu idea yang kurang bijak untuk menikmati makanan berkarbohidrat tinggi pada waktu malam. Tetapi sesekali tidak memberi kesan sebaliknya dapat meningkatkan kualiti tidur.

Pasta dapat menyokong penyerapan triptofan pada otak yang akhirnya membantu meningkatkan kesan mengantuk dan memudahkan kita tidur pada waktu malam.

4. Chamomile

Elakkan minum minuman berkafein tinggi sebelum tidur kerana ia boleh menyebabkan kita lebih sukar melelapkan mata. Sebaliknya, pilih yang menghilangkan tekanan dan menenangkan seperti chamomile.

Chamomile mengandungi sebatian apigenin yang bertindak pada reseptor otak bagi membantu kita tidur.

Kajian pada 2016 juga mendapati orang yang minun teh chamomile secara berkala selama dua minggu mendapat tidur yang lebih lena. Ia juga mengurangkan gejala kemurungan.

Artikel Lain