suria

Elak bau mulut, 'potong' lemak pada makanan antara 5 kebaikan kayu manis

Kayu manis mempunyai pelbagai khasiat.

AROMA khas yang dikeluarkan oleh kayu manis membuatkan ia cukup banyak digunakan dalam masakan serta minuman.

Bukan sekadar aromanya, rempah daripada pohon cinnamomum verum ini juga mempunyai seribu satu manfaat buat kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hello wanita, raikan kejelitaan diri anda... kulit segar, rambut ikal kekal sihat

Kayu manis mengandungi antioksidan, antiinflamasi, antimikro, meningkatkan imunisasi serta berpotensi menjadi pelindung penyakit jantung dan bersifat anti kanser.



Kayu manis bagus untuk pesakit diabetes.

1. Gula dalam darah

Kayu manis juga mampu membantu menyeimbangkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetes. Kayu manis juga dapat meningkatkan sensitiviti insulin sehingga gula dalam darah seimbang.

Ini kerana kayu manis membantu menghalang aktiviti enzim penghadaman untuk melambatkan penyerapan gula ke dalam saluran darah.

2. Menurunkan kesan makanan berlemak

Makanan berlemak memang sedap tapi awas ia mampu memberi kesan kepada berat badan dan kesihatan anda. Bagaimanapun tak perlu bimbang, sebab kayu manis boleh jadi penyelamat.

Dalam satu kajian dilakukan pada 2011, diet dengan antioksidan tinggi termasuk kayu manis mampu menurunkan respons negatif tubuh ketika mengambil makanan berlemak tinggi.

Dalam kajian itu juga, enam orang diminta mengambil 14 gram rempah dalam makanan mereka. Hasilnya, aktiviti antioksidan meningkat sehingga 13 peratus, respons insulin menurun sehingga 21 peratus dan trigliserida juga merudum sebanyak 31 peratus.



Ia juga cukup baik bagi mencegah bau mulut.

3. Bebas nafas berbau

Kayu manis mengandungi antibakteria dan antimikro sehingga mampu melawan bakteria dalam tubuh. Ini juga termasuk bakteria berlebihan penyebab bau mulut.

4. Menurunkan risiko penyakit jantung

Kayu manis mempunyai hubungan rapat dengan penurunan risiko penyakit jantung. Ia juga mampu menurunkan kolesterol jahat sementara kolesterol baik dalam keadaan stabil.

5. Cegah kanser

Seperti penyakit jantung, kayu manis juga menunjukkan potensi dalam mencegah kanser meskipun kajian mengenainya masih banyak dilakukan.

Dalam satu kajian terhadap tikus dengan kanser usus menunjukkan kayu manis berpotensi menjadi penggerak enzim pada usus besar bagi melawan pertumbuhan sel kanser yang baharu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Kayu manis, diabetes, bau mulut, kesihatan

Artikel Lain