suria

Bukan sembarangan buah, nangka ada macam-macam kebaikan untuk kesihatan anda

Buah nangka mempunyai pelbagai khasiat.

SELAIN sebagai penambah aroma dan rasa, manfaat buah nangka sebenarnya cukup banyak untuk kesihatan manusia.

Ini kerana nangka mengandungi vitamin dan mineral yang cukup tinggi malah lebih daripada epal, pisang dan avokado. Itu belum lagi kandungan folat, niasin, riboflavin, kalium dan magnesium.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak bau mulut, 'potong' lemak pada makanan antara 5 kebaikan kayu manis

Tidak hanya itu, karotenoid atau pigmen yang memberi warna kuning pada nangka turut kaya dengan vitamin A.

Seperti semua antioksidan, karotenoid berfungsi melindungi sel daripada rosak serta membantu tubuh berfungsi dengan lebih baik.

Semua kelebihan yang terdapat pada buah ini, membantu mencegah penyakit seperti barah, penyakit jantung serta masalah mata seperti katarak dan degenerasi makula. Semakin ranum nangka, kadar karotenoidnya juga akan meningkat.

Berikut adalah lima kebaikan nangka untuk kesihatan;

1. Atasi sembelit

Nangka adalah sumber serat yang cukup baik sehinggakan ia mampu membuatkan anda berasa kenyang lebih lama selain membantu membuang air besar dengan lebih teratur.

2. Ubat bisul

Bahan kimia semula jadi di dalam nangka dapat membantu mencegah terbentuknya luka atau bisul di dalam perut anda.

3. Diabetes

Tubuh akan mencerna dan menyerap nangka lebih perlahan daripada beberapa makanan lain. Ini bererti gula dalam darah bagi pesakit diabetes tidak akan naik secepat seperti buah-buahan lain.

Sebuah kajian juga menunjukkan bahawa ekstrak nangka dapat membantu pesakit diabetes untuk mengawal gula dalam darah.

4. Tekanan darah tinggi

Kalium dalam nangka dapat membantu menurunkan tekanan darah sekaligus mengurangkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar.

5. Masalah kulit

Kandungan vitamin C yang tinggi di dalam nangka dapat membantu melindungi kulit anda daripada rosak akibat terdedah kepada cahaya matahari.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain