BERCINTA sudah lama tapi nampaknya impian mahu mendirikan rumah tangga seperti hanya angan-angan apabila pasangan seperti belum bersedia untuk berkahwin. Ibarat seperti tepuk sebelah tangan, pasti ada sahaja alasan diberikan apabila topik tentang perkahwinan ditimbulkan. Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke anda mencintai si dia? Ini 7 tanda tiada lagi perasaan sayang padanya. Lebih malang, alasan demi alasan diberikan sehingga ia boleh menimbulkan pertengkaran seolah-olah langsung tiada usaha untuk menghalalkan hubungan yang terjalin. Tapi jangan bimbang, ada beberapa cara boleh dilakukan untuk membuatkan kekasih anda mahu mendirikan rumah tangga. 1. Elak berjumpa Adakalanya sesuatu hubungan itu menjadi hambar apabila sering bertemu dan menghabiskan masa bersama. Jadi apa kata selepas ini, elakkan bertemu si dia, jangan asyik berkepit saja! Dengan cara ini, anda akan membuatkan dia berasa rindu, kehilangan dan ketika inilah si dia menyedari betapa pentingnya anda dalam hidupnya. Dalam tempoh ini, ambil peluang sibukkan diri dengan perkara lain dan buktikan kelebihan diri anda kepada si dia seperti cara berfikir dan bertenang dalam hubungan. 2. Tiada lagi "I Love You" Bagi pasangan bercinta, ucapan kata-kata cinta, manja sudah menjadi kebiasaan dalam hubungan tetapi ia akan membuatkan hubungan hambar kerana setiap kata-kata itu sudah hilang istimewanya. Hentikan ucapan cinta dan biarkan si dia agar dia sedar perubahan yang dilakukan anda - dan mungkin akan terbit rasa rindu dalam dirinya untuk mendengarkan kata-kata romantis daripada anda. 3. Rancang masa depan tanpa melibatkan si dia Apabila pasangan anda tidak menunjukkan minat terhadap perkahwinan dan sentiasa memberikan alasan adalah lebih baik jika anda merancang masa depan tanpa melibatkan dirinya. Cuba berdiri di atas kaki sendiri, tunjukkan kepada si dia bahawa anda mampu hidup tanpanya dan berpegang kuat pada matlamat anda. Keputusan itu akan sedikit sebanyak membuatkan si dia berasa tercabar dan mula berfikir untuk membawa hubungan anda ke tahap selanjutnya. 4. Luaskan rangkaian kenalan Jika kekasih anda yang sentiasa memberi alasan itu adalah lelaki, tunjukkan kepada dia bahawa anda mempunyai ramai kawan lelaki dan sebaliknya. Perasaan cemburu akan timbul dan si dia akan mula takut kehilangan anda sekiranya dia benar-benar mencintai anda. 5. Beri tempoh Anda perlu memberi tempoh akhir kepada hubungan kerana sekiranya tidak berbuat demikian ada kemungkinan anda akan terus hidup dengan seorang yang penuh alasan. Dengan memberikan tempoh juga boleh membuatkan anda menilai sejauh mana kesungguhan si dia dalam hubungan tersebut. Pendirian itu penting kerana ia melibatkan masa depan. Jangan asyik bertolak ansur dan terus menjadi penunggu tak berbayar! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!