DOKTOR gigi sering menasihatkan supaya gigi bongsu atau wisdom teeth perlu dicabut bagi mengelakkan ia tumbuh pada posisi yang salah sehingga boleh merosakkan struktur gigi. Biarpun ada gigi bongsu yang tidak memberi sebarang masalah tetapi ia juga mempunyai kesan sampingan serta boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. ARTIKEL BERKAITAN: 'Scaling' bukan sekadar buang karang gigi, ada 4 kebaikan termasuk rawatan macam di spa! Kebiasaannya, wisdom teeth ini akan tumbuh pada bahagian paling belakang dan mampu memberi tekanan kepada gusi dan gigi geraham yang lain. Disebabkan ruang yang sempit, pertumbuhan gigi tersebut boleh menjadi tidak sekata sehingga membuatkan anda rasa berdenyut, gusi membengkak serta sukar untuk makan. Berikut adalah lima sebab mengapa anda perlu membuang gigi bongsu; 1. Elak sakit gigi Apabila gigi bongsu tumbuh, gusi anda akan berasa tidak selesa dan mula berasa sakit. Meskipun sakit gigi yang anda rasa tidak berturut-turut tetapi itu merupakan tanda sebelum ia menjadi lebih teruk. Setiap kali anda berasa sakit gigi, tidak disarankan mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol kerana ia langsung tidak akan mengatasi masalah gigi anda. Jika anda sudah dapat agak kesakitan itu berpunca daripada gigi bongsu, maka segeralah berjumpa doktor gigi. Itu adalah jalan terbaik untuk mengelakkan kesakitan berpanjangan. 2. Gusi dan pipi bengkak Apabila gigi bongsu sedang tumbuh, anda bukan sahaja rasa sakit gigi tetapi gusi dan pipi boleh menjadi bengkak. Ini juga adalah petanda untuk anda membuang gigi tersebut. Sekiranya ia dibiarkan, lama-kelamaan ia akan sakit lebih kerap sehingga membuatkan anda berasa tidak selesa. 3. Kesan terhadap gigi lain Pertumbuhan gigi bongsu selalunya berada dalam keadaan terhimpit iaitu pada bahagian paling hujung rongga mulut. Terdapat pelbagai kes yang mana gigi sebelum gigi bongsu turut terkesan daripada segi kedudukan atau ia turut rosak. 4. Struktur gigi tak rata Gigi bongsu yang tumbuh dalam keadaan tidak lurus akan membuatkan struktur gigi anda tidak tersusun dengan baik. Sebagai contoh, gigi yang tumbuh ke arah pipi akan menyebabkan anda sering tergigit pipi dan boleh menyebabkan pendarahan. Selain itu, kedudukan barisan gigi bahagian bawah dan atas juga tidak akan sama. 5. Sinus Pertumbuhan gigi bongsu ini boleh menyebabkan seseorang berdepan dengan sakit sinus seperti batuk, selesema. Tekanan gigi bongsu juga boleh membuatkan seseorang sakit kepala. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!