suria

Jangan terkejut, malas mandi antara 7 kebiasaan yang sering dilakukan penderita kemurungan

Penderita biasanya tidak sedar telah melakukan beberapa perkara yang juga gejala kemurungan.

PENDERITA kemurungan sebenarnya tidak menyedari apa yang sedang dialaminya. Apatah lagi, gejala kemurungan pada setiap orang kebiasaannya berbeza-beza dan tidak jelas bentuknya.

Akan tetapi ada beberapa kebiasaan yang tanpa disedari sering dilakukan oleh golongan yang menghidap kemurungan dan gejala itu biasanya perbuatan berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabiat tekan 'snooze' nak tidur lebih lama... Awas ia boleh sebabkan kemurungan!

Bagi orang disekeliling pula, tanda-tanda yang ditunjukkan boleh juga menjadi petanda golongan ini memerlukan bantuan dan sokongan agar simptom yang ditunjukkan tidak bertambah teruk.

Berikut adalah kebiasaan yang kerap dilakukan oleh penderita kemurungan.

1. Tidak ingin keluar rumah

Ada segelintir pesakit boleh duduk di rumah tanpa keluar selama berminggu-minggu lamanya. Biasanya, perkara ini terjadi kerana terbit rasa benci pada diri sendiri atau rasa tertekan yang memuncak.

Penderita kemurungan juga memiliki tahap tenaga yang sangat rendah dan turut menjadi penyebab mengapa mereka enggan keluar rumah.

2. Dibebani rasa bersalah

Rasa bersalah terhadap sesuatu perkara adalah perkara normal. Akan tetapi, penderita kemurungan biasanya akan berasa bersalah atas apa juga perkara yang mereka lakukan.

Misalnya, golongan ini berasa bersalah kerana tidak dapat membantu orang yang menjadi mangsa bencana alam atau memberi derma kepada golongan memerlukan. Perasaan bersalah itu membuatkan mereka rasa tidak berharga.

3. Pura-pura bahagia

Kemurungan tidak semestinya berada dalam keadaan sedih tetapi kebanyakan kes penderitanya masih mampu ketawa dan kelihatan gembira. Hal ini terjadi kerana mereka berusaha menyembunyikan perasaan sebenar mereka.

Bagaimanapun, ramai yang gagal mempertahankan 'kepalsuan' yang cuba ditunjukkan dan pada akhirnya mereka akan memunculkan tanda-tanda kesedihan, sengsara dan kesepian.

4. Pola tidur berubah

Kajian menunjukkan kurang tidur boleh memicu masalah kemurungan. Terlalu banyak tidur juga boleh menjadi tanda seseorang mungkin sedang mengalami masalah kesihatan mental.

Meskipun telah tidur dalam tempoh yang lama, penderita kemurungan biasanya akan tetap berasa letih dan mengantuk serta tidak mempunyai tenaga sepanjang hari. Namun ada pula yang sukar tidur.

5. Tiada minat melakukan apa-apa

Salah satu gejala kemurungan yang sering tidak disedari adalah hilangnya minat terhadap perkara rutin atau melakukan aktiviti seperti bersenam, bersiar-siar atau pun ke tempat kerja!

6. Mudah marah dan tersinggung

Perubahan emosi juga membuatkan golongan ini mudah marah dan tersinggung meskipun ia hanya hal kecil dan remeh. Biasanya, kemarahan yang ditunjukkan adalah salah satu cara untuk mengalihkan kesedihan mereka.

7. Tidak menjaga kebersihan

Individu yang cenderung mengalami kemurungan juga kurang menjaga kebersihan diri dan persekitarannya. Mereka menjadi malas mandi atau membersihkan rumah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain