KADANG-KALA ada di antara kita yang akan rasa sakit ketika membuang air kecil sehingga situasi itu dianggap satu penyeksaan. Kebiasaannya, rasa sakit ketika kencing berlaku kerana jangkitan kuman namun ia juga boleh terjadi disebabkan perkara lain.ARTIKEL BERKAITAN: Tua tapi sihat, bergaya! Ada 3 cara elak perut buncit selepas umur 40 tahun Apakah penyebab lain kepada keadaan ini? 1. Jangkitan saluran kencing Sakit ketika kencing adalah gejala utama jangkitan saluran kencing. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan kuman atau keradangan di saluran kencing seperti uretra, ureter dan ginjal. Memandangkan bentuk anatomi saluran kencing yang berbeza, wanita lebih mudah terkena jangkitan ini berbanding lelaki. 2. Penularan penyakit seksual Penularan penyakit seksual seperti herpes, gonore dan klamida boleh menyebabkan sakit ketika membuang air kecil meskipun ia tidak menimbulkan gejala spesifik. Penting bagi golongan yang aktif melakukan hubungan seksual menjalani ujian penyakit kelamin. 3. Radang prostat Keradangan pada kelenjar prostat atau prostatitis juga boleh menjadi penyebab sakit ketika kencing buat golongan lelaki. Selain kencing terasa sakit, gejala prostat juga boleh menyebabkan rasa pedih, panas dan tidak selesa ketika kencing. 4. Batu karang Batu karang juga boleh menyebabkan kencing terasa sakit. Penyakit ini disebabkan pengumpulan mineral seperti kalsium di dalam tubuh. Bagi kes yang teruk, rasa sakit boleh merebak sehingga ke bahagian punggung dan pinggang. Batu karang biasanya akan keluar sendiri dengan bantuan ubat ketika kencing. Bagaimanapun batu yang berukuran besar, hanya boleh dikeluarkan melalui pembedahan. 5. Kesan ubat tertentu Beberapa jenis ubat untuk pesakit kanser dan antibiotik dapat menimbulkan kesan sampingan termasuklah kencing terasa sakit. Sekiranya ia berterusan, sebaik-baiknya berbincang dengan doktor bagi mencari penyelesaian seperti mengganti jenis ubat yang lain. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!