DIABETES mellitus atau kencing manis adalah salah satu penyakit kronik yang boleh membawa pelbagai komplikasi atau kesan-kesan buruk yang memudaratkan kesihatan pesakit selain menelan kos perubatan tinggi. Menurut Pakar Endokrinologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Chooi Kheng Chiew, diabetes semasa hamil, atau diabetes dalam kandungan (Gestational Diabetes Mellitus/GDM) merupakan keadaan dialami wanita hamil yang tidak menghidap kencing manis sebelum hamil, tetapi dikesan mempunyai paras glukosa darah lebih tinggi daripada normal.ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Risiko sakit jantung meningkat ketika fasa perimenopause, 87 peratus wanita tidak menyedarinya "Menurut statistik negara, lebih lapan peratus wanita mengandung didapati menghidap diabetes semasa hamil pada tahun 2012," ujarnya. Dr Chooi turut menjelaskan, semasa seseorang wanita hamil, pelbagai hormon dihasilkan oleh uri atau plasenta, yang boleh menjejaskan fungsi dan keberkesanan hormon insulin dalam badan untuk mengawal paras gula badan. "Ini juga dikenali sebagai rintangan insulin. Apabila plasenta semakin membesar, lebih banyak hormon penghalang seperti kortisol, estrogen dan human placental lactogen yang dikeluarkan, dan ini menyebabkan rintangan terhadap tindakan insulin meningkat lebih tinggi lagi. "Pankreas, iaitu salah satu organ yang terletak di belakang perut, terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan terhadap fungsi insulin. Insulin yang dihasilkan oleh pankreas membantu untuk mengawal kuantiti gula dalam darah dan membolehkan badan seseorang menyimpan glukosa yang tidak diperlukan serta-merta untuk menghasilkan tenaga. "Jika usaha ini tidak mencukupi atau gagal, paras glukosa dalam badan akan naik, dan diabetes semasa hamil akan berlaku. Kebiasaannya, pesakit akan pulih selepas anak dilahirkan," katanya. Namun demikian, pesakit akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis pada kemudian hari. Disebabkan itu, saringan atau pemeriksaan berkala perlu dilaksanakan untuk mengesan penyakit kencing manis selepas bersalin. Faktor Penyebab Ditanya megenai faktor yang mengakibatkan diabetes semasa kehamilan, Dr Chooi menjelaskan wanita yang sihat sebelum hamil pun mempunyai risiko untuk menghidap diabetes semasa mengandung, namun beberapa faktor meningkatkan kemungkinan berlakunya diabetes semasa hamil. Di antara faktor-faktor risiko ini adalah; 1. Berat badan yang berlebihan (wanita yang ‘overweight’ atau obes), mempunyai saudara rapat yang menghidap kencing manis 2. Jika wanita tersebut pernah menghidap diabetes semasa hamil sebelum ini dan jika pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar (lebih daripada 4 kg), bayi yang cacat atau mati semasa lahir. 3. Usia yang meningkat, atau jika mengalami masalah lain yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi ataupun penghasilan cecair amniotik atau air ketuban yang berlebihan. Simptom atau Tanda Amaran Biasanya kata Dr Chooi, ramai wanita yang menghidap diabetes semasa hamil tidak menunjukkan sebarang tanda amaran tetapi sesetengah akan merasa dahaga, letih dan kerap membuang air kecil. Wanita hamil yang berisiko disarankan untuk menjalankan ujian ‘oral glucose tolerance test’ (OGTT), atau juga dikenali sebagai ujian ‘minum air gula’ untuk memeriksa tindak balas badan dan keupayaan badan untuk mengawal tahap gula dalam darah dan mengesan adanya diabetes semasa hamil. Menurut Dr Chooi, garis panduan di negara ini menyarankan seorang wanita hamil yang ada faktor risiko untuk menghidap diabetes semasa hamil harus menjalankan ujian OGTT ini pada lawatan pertama (booking visit) ke klinik untuk rawatan antenatal. Jika keputusan negatif, ujian ini boleh diulangi pada bulan keenam hingga ketujuh (atau minggu 24 ke 28) kehamilan. Ini untuk membolehkan pengesanan dan penjagaan awal untuk penyakit ini. "Untuk wanita yang berumur 25 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai faktor risiko untuk menghidap diabetes semasa hamil, ujian ini boleh dilakukan pada bulan keenam hingga ketujuh. "Semua ibu yang dikehendaki melalui prosedur OGTT perlu berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam sebelum prosedur. Selepas pengambilan darah pertama, air gula akan diberikan. Selepas dua jam, pengambilan darah kali kedua akan dilaksanakan. Jika paras gula melebihi tahap tertentu, wanita tersebut disahkan menghidap penyakit diabetes semasa hamil," jelasnya. Komplikasi ketika Hamil Diketahui bahawa wanita yang menghidap diabetes semasa hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi semasa mengandung. Komplikasi tersebut termasuk risiko untuk keguguran, kecacatan bayi, kelahiran pramatang, dan juga makrosomia, iatui bayi yang lahir dengan berat 4kg atau lebih. Ini kata Dr Chooi boleh menjadikan kesukaran untuk bersalin secara normal dan meninggikan keperluan untuk melahirkan bayi melalui proses pembedahan. Di samping itu, bayi yang dilahirkan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk masalah pernafasan dan cenderung untuk menjadi obes atau menghidap penyakit kencing manis pada masa hadapan. Rawatan Diabetes Ketika Hamil Jelas Dr Chooi lagi, antara rawatan untuk diabetes semasa kehamilan termasuklah: 1. Mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras glukosa darah sentiasa berada di paras normal atau optimal ketika mengandung. 2. Pesakit harus mengikuti rancangan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat daripada pakar pemakanan dan aktiviti fizikal yang berpatutan harus ditingkatkan secara beransur-ansur supaya paras glukosa darah dapat dikawal dalam julat yang selamat. 3. Pemantauan paras glukosa darah dengan kerap adalah sangat penting bagi memastikan paras gula darah sentiasa berada pada tahap yang normal. "Ada dalam kalangan ibu mengandung yang menghidap GDM yang mungkin memerlukan rawatan ubat atau suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan. Nasihat dan rawatan harus diperoleh daripada pakar perubatan yang bertauliah," jelasnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!