suria

Bimbang menghidap darah tinggi... Elak 5 tabiat penyebab hipertensi

Terdapat beberapa tabiat yang boleh menyebabkan darah tinggi.

HIPERTENSI atau darah tinggi adalah keadaan ketika tekanan darah berada di atas paras normal iaitu 130/80mmHg.

Seseorang itu dikatakan menghidap penyakit itu apabila ujian dalam tempoh tiga bulan berturut-turut bacaan tekanan darahnya tidak normal.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 sebab kenapa anda tiba-tiba mengidam nak makan makanan manis dan masin

Darah tinggi boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor risiko yang sebenarnya boleh dielakkan termasuklah;

1. Merokok

Merokok atau menghisap vape yang mengandungi nikotin adalah salah satu faktor yang mempengaruhi tekanan darah. Nikotin yang diserap ke dalam tubuh dapat membuatkan tekanan darah melonjak naik.

Apabila ia tidak dikawal, lama kelamaan ia boleh merosakkan pembuluh darah iaitu arteri. Kesannya, seseorang lebih berisiko terkena serangan jantung dan angin ahmar.

Sekiranya pesakit darah tinggi masih merokok, tabiat itu perlu dihentikan segera bagi memastikan tiada kesan lebih buruk berlaku kepada kesihatan.

2. Pengambilan garam dan makanan segera

Pengambilan makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi serta makanan segera turut boleh menjadi penyebab darah tinggi.

Makanan segera kebiasaannya tinggi kandungan garam dan pengambilan garam berlebihan membuatkan tubuh menyimpan air lebih banyak.

Disebabkan itu, jantung perlu bekeerja lebih kuat dan memberi kesan kepada bacaan tekanan darah.

3. Berat badan berlebihan

Berat badan berlebihan turut dapat meningkatkan risiko darah tinggi sebanyak dua sehingga enam kali lebih tinggi berbanding individu dengan berat badan normal.

Bagaimanapun risiko itu boleh dicegah dengan mengurangkan berat badan termasuk mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam secara tetap.

4. Malas bergerak

Tidak bergerak aktif dalam tempoh yang panjang juga boleh menyebabkan penyakit darah tinggi termasuk tidak pernah bersenam membuatkan risikonya menjadi berlipat kali ganda.

Untuk mengelak daripada mendapat penyakit itu, seseorang perlu mula mengubah gaya hidup menjadi lebih aktif dan rajin bersenam.

Luangkan masa untuk melakukan senaman ringan seperti berjalan kaki, berbasikal, berenang dan sebagainya.

5. Tekanan

Ketika seseorang berada dalam tekanan, tubuh akan mengeluarkan hormon tekanan yang mampu meningkatkan tekanan darah.

Sumber tekanan yang biasa adalah pekerjaan, masalah percintaan, hubungan dengan orang terdekat dan kewangan.

Sebaik-baiknya, jangan biarkan tekanan menguasi diri kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan anda.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain