suria

Pesakit diabetes boleh berpuasa, kalau betul caranya siap boleh dapat ekstra manfaat!

Pesakit diabetes masih boleh berpuasa selagi ia dilakukan dengan betul.

BERPUASA bagi pesakit diabetes bukan satu masalah namun mereka perlu lebih peka terhadap makanan yang diambil ketika berbuka dan bersahur.

Ini kerana, penderita penyakit itu masih berdepan risiko 1.6 kali lebih tinggi diserang hipoglisemia yang boleh menyebabkan seseorang mengalami peluh, badan menggeletar dan denyutan jantung menjadi laju.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca panas tentu mudah terasa dahaga... ini 5 tip hindari dehidrasi ketika berpuasa

Bagaimanapun sekiranya ia dilakukan dengan betul, berpuasa sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat kepada penderita diabetes termasuklah;

1. Menurunkan kolesterol

Puasa dapat menurunkan kadar kolesterol jahat dan sebuah kajian menunjukkan penurunan kandungan trigliserida sekitar 15 peratus dan kadar LDL sebanyak 11 peratus ketika seseorang berpuasa.

Trigliserida adalah sejenis lemak di dalam darah dan selain penurunan kolesterol, risiko penyakit jantung juga akan berkurangan.

2. Menurunkan tekanan darah

Ketika berpuasa, tubuh akan mengurangkan penghasilan hormon seperti adrenalin yang memicu kenaikan tekanan darah.

3. Meningkatkan sistem kekebalan tubuh

Sebuah kajian yang dilakukan Universiti of Southern California mendapati berpuasa mampu meningkatkan daya tahan tubuh. Ketika menahan lapar, tubuh akan mengaktifkan sistem untuk menjimatkan tenaga.

Ketika itu juga, tubuh akan mengatur kembali sel imunisasi yang tidak diperlukan dan sel-sel yang sudah rosak. Akhirnya, sistem pertahanan tubuh diperbaharui.

Meskipun terdapat manfaat berpuasa kepada pesakit diabetes, namun ia perlu dilakukan dengan nasihat doktor terutamanya bagi penderita yang mempunyai pelbagai komplikasi.

Pesakit perlu memastikan kadar gula di dalam darah sentiasa berada dalam keadaan normal bagi mengelak masalah lain. Paling penting, pesakit perlu makan pada waktu sahur dan mengambil ubat.



Bersahur adalah keperluan bagi pesakit diabetes.

Terdapat beberapa panduan pemakanan semasa berpuasa untuk pesakit diabetes;

1. Bersahur adalah satu keperluan. Pastikan bersahur di hujung waktu menghampiri imsak.

2. Pastikan pengambilan makanan seimbang yang merangkumi semua kumpulan makanan pada waktu sahur dan berbuka. Ambil makanan mengikut saiz hidangan yang disarankan dengan jumlah karbohidrat yang betul. Dapatkan nasihat pegawai dietetik untuk saranan saiz hidangan dan jumlah karbohidrat yang sesuai.

3. Elakkan pengambilan makanan tinggi gula semasa berbuka puasa.

4. Ambil snek yang sihat waktu minum malam (selepas tarawih).

5. Pengambilan cecair perlu mencukupi. Pastikan pengambilan 8 gelas air kosong sehari.

6. Hadkan pengambilan makanan tinggi kolesterol atau lemak semasa berbuka puasa atau sahur.

7. Hadkan pengambilan makanan tinggi garam untuk mengurangkan risiko dehidrasi.

8. Amalkan mengambil ubat atau insulin yang disesuaikan mengikut waktu makan semasa berpuasa mengikut arahan doktor.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain