suria

Elak mulut berbau ketika berpuasa... apa kata cuba 6 tip ini

Mulut berbau ketika berpuasa adalah perkara biasa.

PENYEBAB bau mulut ketika berpuasa sebenarnya dipengaruhi oleh keadaan mulut yang kering tanpa pengambilan air.

Keadaan mulut yang kering, penghasilan air liur yang bertindak meneuteral asid di dalam mulut turut berkurang. Kesannya, kadar asid dalam rongga mulut menjadi tidak seimbang membuatkan bakteria lebih mudah membiak di dalam mulut sekaligus menyebabkan bau mulut.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak gastrik ganggu puasa sepanjang Ramadan... apa kata cuba 4 tip ini

Bagaimanapun jangan khuatir, terdapat beberapa cara untuk menghilangkan bau mulut ketika berpuasa seperti dikongsi oleh pakar perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan;

1. Minum air secukupnya

Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.

2. Elakkan minum kopi atau teh di waktu sahur

Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.

3. Kurangkan Bercakap

Kurangkan bawang dan 'membawang'. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.

4. Ambil karbohidrat secukupnya

Ramai cuba kurangkan berat badan secara intensif semasa Ramadan dengan tidak ambil karbohidrat serta gula. Ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis dan menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit.

5. Gosok gigi dan bersihkan lidah

Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Maka, gosok gigi sebelum tidur dan 30 minit selepas sahur. Gunakan floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan berus gigi. Boleh juga kumur dengan larutan pembersih mulut.

6. Pastikan tiada masalah mulut dan hidung

Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada rongga hidung, sinus, gigi, lidah, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Jadi, jumpalah doktor untum pemeriksaan.

Artikel Lain