SEGELINTIR masyarakat mungkin hanya memahami istilah takaful yang bermaksud insurans atau perlindungan yang berasaskan hukum Islam. Namun tidak ramai yang menyedari bahawa takaful juga merupakan salah satu peluang pelaburan yang tersedia untuk menggandakan wang anda. Dilaporkan, segmen insurans takaful masih belum dimanfaatkan sepenuhnya meskipun terdapat peluang besar dari segi prospek mengembangkan pasaran berkenaan. Pakar kewangan dan takaful, Siti Nurbaya Ahmad Shadzli turut berkongsi ilmu mengenai kesedaran dan kepentingan pelaburan dalam produk atau pelan takaful. Menurutnya, takaful bermaksud persetujuan daripada peserta takaful untuk menyumbang ke dalam dana yang memberi manfaat kewangan dan perlindungan kepada peserta berkenaan. Pelaburan takaful adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan komitmen bayaran berterusan. Malahan katanya, ia juga memanfaatkan waris sekiranya berlaku musibah seperti kematian, kemalangan, cacat kekal dan sakit. "Perlindungan takaful ada bersama manfaat pelaburan iaitu pelanggan mempunyai pilihan untuk membuat simpanan dalam pelan ini di mana simpanan akan dilaburkan dalam dana yang ada," katanya kepada mStar. Namun katanya, timbul tanggapan yang salah dan kurang tepat mengenai pelaburan takaful apabila ia sering dikaitkan dengan simpanan seperti di bank. "Pelaburan takaful adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan komitmen bayaran berterusan untuk manfaat perlindungan yang dimiliki. "Dari segi kelebihan, pelanggan dapat menikmati pulangan wang caruman yang dilaburkan ke dalam dana yang disediakan iaitu dana berisiko rendah, sederhana atau tinggi," ujarnya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Dalam pada itu, Siti Nurbaya turut memberikan situasi yang berlaku dalam kehidupan masyarakat apabila seseorang itu melabur dalam produk takaful. Siti Nurbaya Ahmad Shadzli. Jelasnya, individu berkenaan merupakan pemegang polisi takaful yang melanggan pelan takaful berkaitan pelaburan yang selamat dan berpatutan. "Apabila terjadinya kematian kepada pemegang polisi takaful, waris dapat menerima simpanan pelaburan takaful selain dari pampasan hibah," katanya. Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai yang berminat untuk melabur dalam produk atau pelan takaful dengan mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada pihak yang berpengalaman dan berkelayakan. "Masyarakat perlu dapatkan khidmat nasihat dan rundingan untuk penyediaan pelan perlindungan beserta pelaburan dan mereka mesti memahami dengan jelas manfaat yang disediakan dan pelaburan simpanan mereka," katanya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!