SEJAK kebelakangan ini ramai golongan yang terkesan meminta bantuan berupa lampin pakai buang (diaper) daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk kegunaan anak kecil selain barang keperluan seperti makanan. Bagaimanapun tidak semua NGO dapat menunaikan permintaan itu kerana mengutamakan bantuan makanan kepada keluarga yang terputus bekalan terlebih dahulu.ARTIKEL BERKAITAN: Masa untuk kembali guna kain lampin, Balkisyh nasihat ibu bapa tak asyik harap bantuan ‘diaper’ - “Ikut cara mak kita dulu... keadaan terdesak” Selain itu, faktor harga lampin pakai buang yang mahal menyebabkan ada NGO terpaksa mencatu sumbangan barangan itu dan hanya diberikan kepada yang betul-betul memerlukan. Melihat kepada keadaan itu, seorang wanita terpanggil untuk mengadakan Kempen Kain Lampin di Jitra, Kedah bagi kegunaan anak kecil pada waktu sukar ketika ini.Antara penerima kain lampin menerusi Kempen Kain Lampin yang diadakan oleh Sri Rahayu di Jitra, Kedah. Sri Rahayu Hussien ketika dihubungi mStar berkata, kempen yang dimulakan sejak tiga minggu lalu itu mendapat sambutan baik daripada penerima bantuan meskipun ada segelintir memberi pelbagai alasan tidak mahu menggunakan kain lampin untuk anak mereka. "Sebenarnya penggunaan kain lampin pun ada kelebihannya, antaranya ia lebih menjimatkan selain boleh digunakan semula... cumanya ibu bapa perlu lebih rajin menukar dan membasuh kain lampin anak. "Tapi Alhamdulillah selepas tiga minggu kempen ini diadakan penerima bantuan menerima sumbangan dengan terbuka apatah lagi dalam situasi ketika ini," katanya. Dalam pada itu, Sri Rahayu berkata, dia terpanggil untuk mengadakan kempen ini selepas melihat sebilangan besar penduduk di beberapa kampung di Jitra terkesan akibat pandemik sehingga tidak mampu membeli makanan. Malah kata pengurus kewangan dan ahli perniagaan ini, dia bersama beberapa lagi sukarelawan bekerjasama rapat dengan Pejabat Parlimen Kubang Pasu bagi mendapatkan maklumat rakyat terkesan untuk diberi bantuan.Ketika ini penggunaan kain lampin paling praktikal dan menjimatkan. "Sebelum ini kami mengedarkan makanan dan barang keperluan termasuk lampin pakai buang kepada golongan terjejas tetapi ia tak dapat bertahan lama. "Kebanyakan mereka bergantung kepada pendapatan harian dan ketika ini tidak dapat bekerja sehingga tidak mampu membeli lampin anak. "Melihat kepada keadaan ini, saya bersama rakan-rakan terfikir bahawa kain lampin adalah penyelesaian terbaik kepada masalah itu," jelasnya. Tambah Sri Rahayu, kempen itu bukan diadakan sekadar untuk menyumbang kain lampin tetapi mengambil peluang ini untuk mendidik masyarakat tentang situasi semasa ketika ini. Di kesempatan ini juga katanya, dia akan menjelaskan bahawa ini adalah peluang terbaik untuk ibu bapa melatih anak-anak mereka menggunakan tandas dalam usaha memutuskan kebergantungan penggunaan lampin.Sri Rahayu lebih ramai dapat menerima bantuan kain lampin untuk kegunaan ketika situasi pandemik. "Ada segelintir sampai anak sudah masuk usia lima tahun masih pakai lampin tetapi sebenarnya inilah waktu paling sesuai untuk melatih mereka menggunakan tandas. "Jadi kempen ini bukan sahaja membantu meringankan beban tetapi juga memberi kesedaran dan tunjuk ajar kerana paling penting ketika ini adalah semua dapat menjimatkan wang dan alam sekitar," jelasnya. Sejak kempen itu dijalankan, Sri Rahayu, 50, memberitahu lebih daripada 30 keluarga sudah mendapat manfaatnya selain semakin ramai tampil memberi sumbangan bagi menjayakan kempen itu. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Sri Rahayu menjelaskan dia mensasarkan untuk menyumbang lebih banyak kain lampin serta keperluan asas lain kepada golongan memerlukan bukan sahaja di Jitra tetapi seluruh negeri Kedah. "Alhamdulillah sumbangan diterima juga cukup baik dan sekiranya ia berterusan lebih ramai akan mendapat manfaatnya dalam situasi sukar ketika ini. "Besar harapan saya sekiranya kempen ini dapat tersebar bukan sahaja di Kedah tetapi ke seluruh Malaysia dengan bantuan NGO yang lain," katanya. Tambahnya dia turut mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai, kain lampin atau barang keperluan dan sebarang pertanyaan boleh menghubunginya menerusi e-mel di [email protected]. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!