ADAKAH anda mengalami kesukaran untuk tidur sejak pandemik? Jika ya, anda mungkin sedang mengalami coronasomia. Coronasomia adalah keadaan sukar tidur akibat tertekan dengan perkara berkaitan dengan pandemik Covid-19.ARTIKEL BERKAITAN: Benarkah kerap mimpi basah boleh ganggu sistem reproduksi lelaki? Keadaan ini sedikit berbeza dengan gangguan tidur yang lain kerana selain resah mengenai virus, seseorang akan lebih banyak berfikir tentang ekonomi, pekerjaan, berasa sunyi dan sebagainya. Jika dibiarkan, coronasomia boleh mendatangkan bahaya seperti perubahan emosi, peningkatan berat badan, penyakit diabetes, darah tinggi selain mengurangkan sistem imunisasi akibat kekurangan tidur. Berikut adalah beberapa tip untuk mengurangkan atau mengelak masalah coronasomia. 1. Kurangkan menonton atau membaca berita Membaca dan menambah pengetahuan am menerusi laporan berita memang baik tetapi cuba kurangkan aktiviti ini dan hindari berita-berita negatif atau berkaitan pandemik. Ia boleh meningkatkan tekanan yang sekali gus mengganggu kualiti tidur kerana terlalu banyak berfikir mengenai masalah itu. 2. Tetapkan rutin Ketika ini jadual kehidupan kita lebih fleksibel memandangkan kita perlu bekerja dari rumah. Akan tetapi, pastikan kita melakukan rutin seperti bangun dan tidur pada waktu sama. 3. Dapatkan cahaya matahari Pastikan tubuh tetap mendapat sinaran cahaya matahari yang cukup pada waktu pagi. Kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari boleh memberi impak kepada kualiti tidur. 4. Jangan tidur siang Ketika ini ramai mengambil kesempatan untuk tidur siang kerana bekerja dari rumah. Sebaik-baiknya elakkan kerana ia boleh mengganggu tidur pada waktu malam. Cukuplah sekadar tidur sebentar untuk mendapatkan kembali tenaga sekiranya benar-benar kepenatan. 5. Alihkan perhatian anda Adakalanya pelbagai perkara tentang pandemik boleh mengganggu perhatian kita seperti berita kematian atau lonjakan kes harian. Jika itu berlaku, alih perhatian anda dengan perkara-perkara yang membangkitkan mood seperti bersenam, menonton televisyen atau menghabiskan masa bersama keluarga. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI