SERAI merupakan tumbuhan yang umumnya digunakan untuk memasak atau membuat minuman. Salah satu cara menggunakan serai adalah dengan merebusnya dalam air dan dijadikan teh serai. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan main letak je... 10 makanan ini tak patut disimpan dalam peti sejuk Khasiat rebusan serai adalah seperti sebatian antioksidan dan anti-radang yang terkandung di dalamnya. Berikut adalah khasiat air rebusan serai yang baik untuk kesihatan yang telah digunakan secara meluas di pelbagai negara. 1. Meningkatkan kesihatan gigi dan mulut Kajian menunjukkan ekstrak serai mampu menghalang pertumbuhan bakteria. Ini termasuk bakteria yang boleh mengganggu kesihatan pergigian dan mulut, seperti Streptococcus Sanguinis yang boleh menyebabkan kaviti. Air rebusan serai juga boleh digunakan sebagai ubat kumur untuk menjaga kesihatan mulut. Kita juga boleh menggigit dan menggosok sisa rebusan serai pada gigi seperti menggunakan kayu sugi. 2. Melegakan kerisauan Minum teh panas boleh membuat anda tenang, tetapi khasiat rebusan serai tidak terhenti di situ. Serai juga membantu menghilangkan keresahan kerana kajian mendapati bahawa menghidu serai terutama dalam bentuk minyak pati dapat membantu orang yang mengalami masalah keresahan. 3. Mengatasi kembung perut Air rebusan serai juga boleh digunakan untuk merawat kembung perut. Kajian menunjukkan pengambilan air rebusan serai boleh meningkatkan kekerapan membuang air kecil kerana ia mempunyai kesan diuretik. Justeru, kembung perut yang berlaku akibat pengumpulan cecair dalam badan dapat diatasi. Khasiat rebusan serai boleh digunakan untuk mengatasi masalah yang sama semasa sindrom prahaid (PMS). 4. Mencegah jangkitan Manfaat air rebusan serai seterusnya adalah untuk mencegah jangkitan. Kajian menunjukkan serai mampu mencegah pelbagai jenis jangkitan yang dialami akibat penurunan sistem imun badan, contohnya mengurangkan dan melegakan kudis pada penghidap HIV. 5. Menurunkan kolesterol Kajian menunjukkan ekstrak serai mampu menurunkan paras kolesterol. Jumlah kolesterol yang diturunkan bergantung pada jumlah dos yang digunakan. Untuk menurunkan lebih banyak kolesterol, lebih banyak serai diperlukan. 6. Mengatasi cirit-birit Air rebusan serai boleh digunakan untuk mengurangkan kekerapan membuang air besar terutama menangani cirit-birit. Tumbuhan ini juga mempunyai fungsi antibakteria yang boleh mengurangkan jangkitan pada saluran penghadaman. Cara membuat rebusan serai Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda ikuti dan boleh dilakukan sendiri di rumah: a. Sediakan sebatang serai dan segelas air. b. Potong batang serai kepada ukuran 2.5cm - 5cm. c. Panaskan air dan biarkan mendidih. d. Tuang air panas ke dalam bekas yang telah dipotong tangkai serai. e. Biarkan batang serai meresap sekurang-kurangnya 5 minit dalam gelas. Air rebusan serai boleh diminum panas atau sejuk dengan menambah ketulan ais untuk menjadikan minuman ini lebih segar. Tiada sukatan betul mengenai penggunaan serai untuk kesihatan tetapi kita dinasihatkan untuk mulakan dengan minum segelas sehari. Pengambilan rebusan serai adalah selamat, tetapi wanita hamil dinasihatkan untuk tidak mengambilnya. Walaupun tiada bukti kes atau kajian yang mendedahkan bahaya rebusan serai untuk kehamilan, namun kebaikan rebusan serai yang boleh melancarkan haid, dikhuatiri boleh memberi kesan kepada kehamilan dan menyebabkan risiko keguguran. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI