SEBELUM ini mungkin ramai tidak pernah mendengar istilah ‘Angiosarcoma’ kerana kebarangkaliannya yang jarang berlaku. Bagaimanapun, istilah ‘Cardiac Angiosarcoma’ kini telah menjadi perbualan ramai setelah ia menjadi punca kematian Virgil Abloh, seorang pereka fesyen selebriti antarabangsa baru-baru ini.ARTIKEL BERKAITAN: Sakit belakang ketika mengandung mungkin hal biasa tapi penjagaan tulang belakang sebelum, semasa dan selepas hamil sangat penting! Walaupun kanser yang jarang dijumpai ini sukar untuk didiagnosis, orang ramai perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan angiosarcoma, bagaimana ia boleh berlaku dan simptom yang perlu diawasi. Dikenali sebagai kanser yang agresif, angiosarcoma tergolong dalam kumpulan kanser yang dikenal pasti sebagai sarcoma dan bermula di dalam tulang dan tisu lembut termasuk otot, lemak, salur darah, saraf, tendon dan lapisan sendi. Pakar Onkologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah berkata angiosarcoma boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh dan selalunya berlaku di sekitar bahagian kulit kepala dan leher. Virgil Abloh, seorang pereka fesyen selebriti antarabangsa meninggal dunia disebabkan cardiac angiosarcoma. Dr Hafizah menyifatkan Cardiac Angiosarcoma sebagai satu kanser yang agresif kerana ia dapat merebak dengan cepat dan menembusi ke dalam lapisan otot jantung seterusnya mengganggu aliran darah melalui jantung, metastasis (merebak) dan boleh menyebabkan kematian. Sarcoma jarang berlaku dan hanya mewakili kurang daripada satu peratus daripada semua kes kanser dewasa dan 12 peratus daripada kanser dalam kalangan kanak-kanak. "Saya pernah merawat seorang pesakit muda yang mempunyai angiosarcoma pada kulit kepala dan malangnya beliau didiagnosis di peringkat kanser yang tidak boleh dibuang. "Pada awalnya kanser ini muncul sebagai luka biru pada kulit kepala yang kemudiannya berulser– beliau kemudiannya menjalani rawatan radiasi dan kemoterapi," katanya. Sementara itu, Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Foo Yoke Loong, turut berkongsi pengalaman beliau merawat seorang pesakit dengan cardiac angiosarcoma semasa beliau sedang menjalani latihan kardiologi suatu ketika masa dahulu. Pesakit itu kata Dr Foo hadir ke hospital setelah mengalami sesak nafas dan gejala kegagalan jantung selepas kehamilan. Malangnya, pesakit itu meninggal dunia kerana kanser yang bersifat agresif ini. Kanser ini biasanya sukar dikesan pada peringkat awal. "Cardiac angiosarcoma sukar didiagnosis kerana ia selalunya tidak menunjukkan simptom. Pesakit mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas, berasa letih semasa bersenam atau melakukan kerja berat yang boleh disebabkan oleh penyakit lain selain cardiac angiosarcoma. "Apabila angiosarcoma itu semakin membesar dan menghimpit jantung, barulah pesakit akan mengalami kekurangan daya toleransi, sesak nafas, bengkak kaki dan sakit dada yang datang dan pergi,” katanya. Simptom dan rawatan untuk Cardiac Angiosarcoma Tambah Dr Foo, kebanyakan pesakit didiagnosis dengan penyakit ini apabila ia sudah berada di tahap yang lebih serius dan apabila simptomnya sudah menjadi semakin ketara. Namun, ada beberapa tanda atau gejala yang dapat membantu orang ramai untuk mengetahui bila mereka harus mendapatkan rawatan dengan segera. “Sehingga kini, tiada lagi kajian yang dapat menunjukkan terdapat kaedah untuk menghalang sebarang jenis angiosarcoma daripada berlaku. Jika seseorang itu mengalami ketidakselesaan dada dan sesak nafas yang berterusan dan bertambah teruk, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera supaya kami dapat mendiagnosis keadaan mereka dengan lebih awal," ujarnya. Bagi diagnosis dan rawatan kanser ini, kedua-dua pakar daripada SMCV ini menekankan bahawa ujian saringan yang spesifik adalah cara yang baik untuk mengesan kanser yang jarang berlaku ini. Dr Foo dan Dr Hafizah berkongsi mengenai bahaya Angiosarcoma. "Ujian saringan spesifik (Echocardiogram atau Echo, Imbasan CT atau CT Scan, atau MRI) diikuti dengan biopsi jantung boleh dibuat untuk mengenal pasti kewujudan kanser ini di dalam tubuh pesakit. "Ujian echo digunakan secara meluas dan dapat menyediakan teknik yang mudah dan tidak invasif untuk penilaian awal kanser ini. Ia dapat mengesan kewujudan jisim atau tumor dan mampu memberikan informasi untuk mengenal pasti sebarang penghalang kepada sistem peredaran darah,” tambah Dr Hafizah. Dr Foo berkata, cardiac angiosarcoma bukan merupakan penyakit keturunan, tetapi semua dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala, dan rawatan yang berlainan diberikan bagi setiap pesakit. "Mencari rawatan yang terbaik adalah sukar kerana setiap pelan rawatan ialah berdasarkan pelbagai faktor seperti umur pesakit, komorboditi lain, dan saiz serta lokasi tumor tersebut. "Jika tumor itu boleh dibuang maka pembedahan jantung terbuka diperlukan untuk membuang tumor secara keseluruhan bagi menghalang tumor tersebut daripada berulang kembali. Selepas itu, rawatan akan diteruskan dengan kemoterapi dan radioterapi," jelasnya. Menurut Dr Foo, satu lagi penyakit kardiovaskular yang jarang dijumpai dan pesakit perlu tahu ialah ‘Atrial Myxoma’ yang merupakan ketumbahan di jantung yang tumbuh secara perlahan. Penyakit ini mempunyai simptom yang sama dengan cardiac myxoma, tetapi kedua-dua jenis penyakit kardiovaskular ini dapat dibezakan melalui ujian Echo dan imbasan CT (CT scan). Tuntasnya, adalah sangat penting untuk para pesakit mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar yang diiktiraf selepas mereka mengalami simptom dan memerlukan rawatan yang segera. "Langkah yang kecil ini mampu memberikan impak yang besar kepada kesihatan anda secara keseluruhan," ujar Dr Foo. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI