KAKI merupakan organ penting tubuh yang bertindak sebagai penyokong dan berfungsi untuk berjalan, siapapun yang mengalami sakit kaki pasti akan menghadapi kesukaran bergerak disamping mengganggu aktiviti harian. Kesakitan pada kaki adalah keadaan biasa selepas kecederaan seperti jatuh, tersandung, tumbukan dan terseliuh yang boleh merosakkan tulang, otot, dan sendi kaki atau ketiga-tiganya sekali. ARTIKEL BERKAITAN: Minum air sejuk beri kesan buruk pada kesihatan, mitos atau fakta? Kebanyakan sakit kaki disebabkan oleh kecederaan atau keradangan pada mana-mana struktur yang terdapat pada kaki seperti tulang, sendi, otot kaki, tendon, ligamen, saluran darah, saraf dan kulit. Biasanya keradangan tisu menjadi punca kesakitan. Bukan sahaja keadaan traumatik ini yang menyebabkan sakit kaki, ia juga boleh disebabkan oleh keadaan perubatan atau bukan disebabkan trauma. Dalam pada itu, terdapat beberapa punca sakit kaki yang bukan disebabkan terseliuh, termasuklah; 1. Sakit Pinggang Sakit pinggang boleh menyebabkan kesakitan dan kebas pada kaki, biasanya orang yang mengalami masalah belakang akibat arthritis atau cakera pecah berisiko tinggi mengalami sakit pelvis dan kemudian merebak ke kaki. Sakit kaki akibat keadaan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan untuk melenturkan kaki, ini berlaku kerana saraf sakral pertama mengalami kecederaan. Jika sakit belakang dan kaki disertai dengan kelemahan otot, terjatuh, atau perubahan dalam fungsi usus atau pundi kencing, ini mungkin petunjuk anda mengalami cauda equina - menandakan kecemasan yang melibatkan saraf tunjang. 2. Kekejangan Otot Kekejangan otot adalah gejala pengecutan otot yang kuat dan mendadak, malah boleh berterusan hingga beberapa minit. Biasanya gejala itu berlaku di kaki. Bagaimanapun, keadaan ini boleh berlaku semasa bersenam atau selepas bersenam. Contohnya, apabila anda mengalami dehidrasi, kekurangan elektrolit dalam badan, tidak cukup memanaskan badan sebelum bersenam, atau bersenam terlalu lama, otot anda menjadi lemah dan mudah kejang. Jika kaki mengalami kekejangan, gunakan kompres atau mandi air panas untuk membantu meredakan kesakitan. Tetapi kaedah ini tidak disyorkan untuk penghidap diabetes atau kecederaan saraf tunjang. 3. Penggumpalan Darah Darah beku dalam urat dan arteri besar yang terletak di perut, pelvis, atau kaki adalah salah satu punca sakit kaki. Ini berlaku kerana badan anda tidak bergerak secara aktif untuk masa yang lama, seperti duduk dalam tempoh penerbangan yang jauh atau menaiki kereta terlalu lama. Selain itu, gumpalan darah lebih berisiko untuk orang yang berlebihan berat badan, merokok, atau mengambil ubat tertentu. 4. Shin splints Shin splints adalah kesakitan yang muncul tepat pada tulang kering, keadaan ini juga dikenali sebagai sindrom tekanan tibial hingga menyebabkan bengkak. Malah, ia adalah kecederaan biasa yang sering berlaku di kalangan penari dan pelari. Selain itu, orang biasa yang melakukan senaman berintensiti tinggi juga terdedah untuk mengalami shin splints. Kecederaan ini boleh dicegah dengan kaedah latihan secara beransur-ansur. Jika penghidap terus bersenam dan tidak menghiraukan kesakitan, shin splint boleh berkembang dan menyebabkan tulang berisiko patah.Malahan, terlalu banyak kecederaan boleh menyebabkan kesakitan dan trauma pada otot, tendon dan sendi yang boleh mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh. 5. Achilles tendinitis Tendon Achilles adalah tisu yang menghubungkan otot betis ke tumit, jika tiba-tiba terdapat tekanan tambahan pada otot betis, tendon Achilles mungkin membengkak atau pecah sekaligus menyebabkan sakit pada betis dan bengkak. Jika anda mengalami simptom ini, letakkan ketulan ais untuk melegakan kesakitan atau mengambil ubat anti radang. Bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, disamping elakkan melakukan sesuatu yang boleh meningkatkan kesakitan. 6. Vena Varikos Manakala vena varikos adalah urat bengkak atau bersimpul yang membesar disebabkan oleh pengumpulan darah di dalam saluran urat saraf. Secara teorinya, vena varikos dicirikan sebagai urat yang berwarna ungu atau biru tua. Ia lebih mudah kelihatan bengkak atau membonjol dan sukar disorokkan. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan tompokan pada kulit yang mengganggu penampilan, tetapi boleh mengakibatkan kekejangan otot dan kaki berdenyut-denyut disertai kesakitan. 7. Kencing Manis Diabetes boleh menyebabkan saraf di kaki tidak berfungsi sekiranya seseorang itu tidak mengawal pengambilan paras gula dalam darah. Perlu diketahui, gejala sampingan mungkin akan berlaku seperti kesakitan, jangkitan kulit, kebas, atau rasa kemutan pada kaki. Diabetes juga merupakan faktor risiko penyakit vaskular periferal (PAD), yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit di kaki malah mengurangkan aliran darah ke otot. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI