KEDATANGAN haid yang lewat, menyakitkan serta tidak menentu boleh menjadi tanda bahawa sesuatu yang lebih serius sedang berlaku di dalam tubuh seorang wanita. Namun begitu, petanda ini tidak mudah untuk diklasifikasikan berlaku hanya daripada satu punca. ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan tetap positif walau dah sembuh, petugas makmal perjelas kenapa tak perlu buat ujian PCR selepas 2 bulan dijangkiti Covid-19 ARTIKEL BERKAITAN: Sakitnya bukan calang-calang! Ketahui 10 punca migrain yang mungkin anda tak pernah sangka Walaupun petanda-petanda ini adalah simptom utama bagi penyakit ginekologi seperti Endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), masih ramai tidak dapat membezakan kedua-dua penyakit ini disebabkan terdapat simptom yang sama lalu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Sempena Bulan Kesedaran Endometriosis Mac ini, doktor pakar dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi pandangan tentang apa yang dapat membezakan Endometriosis dan PCOS serta pilihan rawatan dan langkah seterusnya untuk membolehkan pesakit mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik. Haid tidak teratur vs haid menyakitkan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Farah Leong Rahman berkata, kedua-dua penyakit ini berbeza di mana PCOS berlaku disebabkan tahap hormon abnormal di dalam tubuh serta tahap insulin yang tinggi. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Farah Leong Rahman. "Antara simptom umum bagi PCOS adalah haid yang jarang berlaku dan tidak menentu, peningkatan berat badan, muka berminyak, pertumbuhan rambut di tempat yang tidak sepatutnya atau masalah jerawat yang disebabkan meningkatnya penghasilan hormon lelaki," katanya. Endometriosis pula kata Dr Farah adalah sejenis penyakit di mana tisu-tisu yang melapisi rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, rahim, tiub Fallopio, usus atau jarang sekali berlaku di paru-paru. "Simptom yang dialami oleh setiap wanita mungkin berbeza, tetapi mereka boleh mengalami haid yang menyakitkan, sakit semasa atau selepas melakukan hubungan seks atau sakit yang berterusan di bahagian bawah perut atau belakang," ujarnya. Golongan berisiko mengalami Endometriosis dan PCOS? Sementara itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Ashley Chung Soo Bee pula memberitahu wanita berisiko tinggi untuk mendapat masalah Endometriosis ketika berada di fasa usia reproduktif mereka. Malah Dr Ashley berkata, Endometriosis lebih kerap berlaku dan telah menjejaskan satu daripada 10 wanita di seluruh dunia dan kajian perubatan di Amerika Syarikat menunjukkan genetik memainkan faktor utama untuk seorang wanita menghidapi PCOS, di mana 25-30 peratus wanita dengan PCOS mempunyai ibu atau adik-beradik lain yang turut menghidapi PCOS. Ahli keluarga kepada wanita yang menghidapi PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keabnormalan metabolik yang sama. DR ASHLEY CHUNG SOO BEE PAKAR PERBIDANAN DAN SAKIT PUAN "Ahli keluarga kepada wanita yang menghidapi PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keabnormalan metabolik yang sama. "Dalam sesetengah keadaan, pesakit boleh mengalami kedua-dua penyakit ginekologi ini pada masa yang sama. Justeru, para pesakit perlu mendapatkan nasihat dan bantuan perubatan sewajarnya supaya mereka boleh mendapat rawatan yang lebih tepat berkaitan Endometriosis dan PCOS," jelasnya. Peluang untuk hamil Dr Farah pula menjelaskan wanita yang menghidapi PCOS atau Endometriosis berpeluang untuk hamil secara semula jadi tetapi ada juga sebilangan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan. "Bagi wanita dengan PCOS yang mengalami haid tidak teratur atau haid yang jarang berlaku, terdapat kekurangan ovulasi (pelepasan telur dari ovari) yang menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti tempoh subur mereka. "Bagi wanita dengan Endometriosis, mereka mungkin mempunyai anatomi pelvis yang terbalik, parut tisu di sekeliling ovari dan tiub Fallopio lalu menjadikan persekitaran tersebut kurang kondusif untuk kehamilan," jelasnya. Antara simptom umum bagi PCOS adalah haid yang jarang berlaku dan tidak menentu. Kesan Jangka Panjang Dengan sista (cysts) Endometriosis yang ditemui di dalam atau pada tiub Fallopio, usus, pada, di belakang atau di sekitar rahim di kawasan antara faraj dan rektum, pendarahan yang berlaku sebagai kesan daripada penyakit ini boleh menyebabkan kesakitan, keradangan, parut dan kemungkinan untuk mengalami kerosakan organ. "Sila dapatkan nasihat daripada pakar sakit puan jika anda mengalami haid yang menyakitkan, kerap berasa sakit sebelum, ketika, atau selepas haid, berasa sakit atau tidak selesa semasa melakukan hubungan seks, sakit yang berkaitan dengan pergerakan usus dan pundi kencing atau kesukaran untuk hamil kerana anda mungkin menghidapi Endometriosis,” kata Dr Ashley. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa PCOS mungkin dialami secara berbeza-beza bagi setiap wanita, dengan sesetengahnya mengalami gejala yang lebih ringan manakala yang lain mengalami gejala yang lebih teruk. "Sebaik sahaja anda mendapat diagnosis PCOS, anda akan berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang yang lain seperti penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kemurungan dan isu psikologi serta kanser rahim. "Sekiranya anda tidak datang haid selama lebih empat bulan, anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut," katanya. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Ashley Chung Soo Bee. Langkah pencegahan dan rawatan Dr Farah memberitahu penawar kekal bagi Endometriosis dan PCOS masih lagi tidak dijumpai sehingga kini, namun terdapat kaedah perubatan yang boleh mengurangkan simptom yang dialami pesakit. Jelasnya, rawatan utama bagi pesakit PCOS perubahan gaya hidup seperti mengekalkan berat badan optimal, mengamalkan corak pemakanan yang sihat dan seimbang serta melakukan senaman dengan kerap dapat membantu pesakit. Bagi pesakit dengan Endometriosis pula, Dr Farah menjelaskan pengurusan dan cara rawatan penyakit ini bergantung pada tahap keseriusan simptom dan sama ada ia menggangu kualiti kehidupan seharian penderitanya. "Perkara penting lain untuk dipertimbangkan adalah sama ada seseorang itu merancang untuk hamil atau tidak. Pembedahan dapat dilakukan apabila rawatan perubatan gagal atau sekiranya simptom penyakit tidak dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan," katanya. Dr Farah dan Dr Ashley menasihatkan bahawa tindakan yang ideal untuk menangani kedua penyakit ini adalah dengan cara mendapatkan nasihat daripada doktor pakar yang boleh menjalankan ujian dan pemeriksaan lanjut untuk memastikan pesakit mendapat diagnosis yang tepat. Jelas mereka, melalui ujian seperti imbasan ultra bunyi pelvis atau ujian hormon untuk memeriksa status hormon pesakit dan tahap kesediaan ovari, pesakit kemudian boleh mendapatkan rawatan yang sesuai dengan mereka dan seterusnya dapat meneruskan kehidupan seharian dengan lebih baik bersama kedua penyakit ini. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI