suria

Kepala botak Jada Pinkett jadi perhatian... doktor ini perjelas punca serta rawatan alopecia

Jada Pinkett smith pernah mendedahkan dia mengalami masalah alopecia.

SIARAN langsung Anugerah Oscars 2022 bertukar kecoh apabila pelakon Hollywood, Will Smith hilang sabar dan bertindak naik ke pentas dan menampar muka Chris Rock selepas pelawak itu mempersendakan imej isterinya, Jada Pinkett Smith yang berkepala botak.

Di sebalik gurauan kasar yang mengundang padah itu, imej Jada itu sebenarnya disebabkan mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai alopecia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja sebab angin pasang, ini 5 punca lain ada benjolan di celah kelangkang

Apa sebenarnya yang dikatakan sebagai alopecia? Alopecia adalah keadaan di mana seseorang itu mempunyai masalah kehilangan rambut secara bertompok.

Saiz dan bilangan tompok-tompok serta perkembangan penyakit ini pula boleh menjadi berbeza-beza bagi setiap individu di mana ia boleh; memberi kesan kepada seluruh kulit kepala (alopecia totalis) dan menyebabkan kehilangan semua bulu badan (alopecia universalis).

1239562683

Jada tampil dengan imej botak.

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi Facebook miliknya, terdapat pelbagai punca terjadinya penyakit di mana seseorang mempunyai masalah kehilangan rambut (atau bulu) termasuklah;

1. Tekanan

2. Keturunan

3. Hormon

4. Jangkitan kulat atau bakteria

5. Masalah imun seperti ekzema

6. Malnutrisi atau kekurangan zat

Sementara itu, Dr Kamarul Ariffin memberitahu terdapat beberapa kaedah untuk menguruskan masalah tersebut terutamanya tentang pengurusan tekanan.

Ini termasuklah pesakit perlu bijak menguruskan masa bagi mengelak tekanan yang menyebabkan keadaan alopecia bertambah parah, mendapatkan rehat yang cukup serta bijak mengawal emosi dan menjalani gaya hidup sihat.

Selain itu katanya, terdapat beberapa rawatan lain bagi merawat masalah itu, seperti;

Alopecia 2

Ada beberapa keadah rawatan alopecia.

1. Berhenti mengambil ubat steroid anabolik (jika ada menggunakannya)

2. Pengambilan diet yang seimbang dan teratur serta kurangkan makanan ringan.

3. Jika berpunca daripada jangkitan kulat di kulit kepala, gunakan ubat antifungal atau antibiotik untuk bakteria.

4. Jika berpunca daripada masalah autoimun, maka pesakit perlukan ubat mengawal respon imuniti.

Kata Dr Kamarul Ariffin, sekiranya semua rawatan dan ubat seperti di atas gagal memberi sebarang perubahan, doktor biasanya akan membekalkan pesakit dengan ubat-ubatan iaitu Minoxidil 5 peratus iaitu sejenis serum, atau pil dikenali sebagai Fenesteride yang biasanya untuk pesakit lelaki.

Bagaimanapun, ubat-ubatan ini katanya perlu diambil secara berterusan untuk menampakkan hasil yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Kamarul Ariffin berkata, jalan akhir untuk menyelesaikan masalah itu adalah dengan melakukan proses menanam rambut atau hair transplant di mana doktor akan mengambil rambut di kawasan yang tidak mengalami kebotakan dan menanamnya di bahagian yang terkesan (botak).

"Alopecia boleh disebabkan oleh pelbagai perkara dan punca dan ia bukan sekadar menjejaskan penampilan fizikal sebaliknya ia mampu mengganggu emosi dan keyakinan diri seseorang yang mengalaminya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain