BARANGKALI ada dalam kalangan kaum lelaki yang pernah mengalami benjolan di celah kelangkang tanpa sebab atau punca yang jelas. Perlu diingat bahawa terdapat banyak otot, ligamen, saluran darah dan saraf pada pangkal paha. Bahagian ini juga terdapat nodus limfa dan saluran inguinal atau groin hernia di mana penyambung testis dari rongga perut ke skrotum. ARTIKEL BERKAITAN: Inspirasi legasi arwah bapa... Dr. Mustafa cari 12 pesakit obesiti kurang mampu, tawar pembedahan bariatrik percuma! Benjolan yang muncul di bahagian celah kelangkang itu sebenarnya boleh disebabkan pelbagai masalah dan paling popular adalah hernia. Bagaimanapun, itu bukan satu-satunya penyebab masalah itu sebaliknya boleh disebabkan oleh; 1. Jangkitan kulit Jangkitan kulit termasuk bisul dan abses (bisul bernanah) boleh menyebabkan benjolan di celah kelangkang. Dalam sesetengah kes, ia boleh membesar dan membengkak manakala pada situasi tidak serius ia tumbuh seperti jerawat. Masalah itu biasanya tejadi disebabkan keradangan di folikel rambut selepas mencukur bulu pada bahagian itu, bergesel dengan pakaian atau terkena penyakit kulit kronik. 2. Nodus limfa membengkak Satu lagi penyebab kehadiran benjolan di celah kelangkang adalah disebabkan nodus limfa membengkak. Biasanya benjolan itu lembut tetapi menyakitkan. Terdapat pelbagai sebab nodus limfa membengkak termasuk jangkitan saluran kencing, penyakit kelamin, elergi, demam atau demam campak. Benjolan ini biasanya hilang selepas jangkitan sembuh. Dalam beberapa kes, benjolan nodus limfa boleh menjadi gejala awal kanser limfoma atau leukemia. 3. Hernia Hernia adalah masalah paling biasa yang menyebabkan kemunculan benjolan di celah kelangkang dan adakalanya merebak sehingga ke testis. Serangan ini disebabkan satu benjolan organ atau tisu yang masuk melalui bukaan abnormal. Ia juga boleh berlaku kepada bayi. Ini disebabkan oleh kelemahan atau kecederaan pada otot. Serangan juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian pusat di celah kelangkang atau bahagian perut yang mempunyai rongga seperti diafram antara dada atau perut. 4. Cyst Benjolan di pangkal paha juga boleh disebabkan cyst yang disebut sebagai epidermoid dan sebum. Cyst ini biasanya benjolan yang terdapat cecair di dalamnya namun ia bukanlah gejala kanser. Selain membengkak, ia boleh menyebabkan masalah ruam dan berasa panas apabila disentuh. 5. Pembuluh darah bengkak Masalah itu juga boleh disebabkan pembuluh darah membengkak. Terdapat dua jenis pembuluh darah yang bengkak dan menyebabkan benjolan di celah kelangkang iaitu aneurisma femoralis dan varises. Benjolan itu berlaku kerana pembuluh darah bengkak biasanya disertai gejala paha sering kejang atau kehilangan rasa, sakit di bahagian celah kelangkang atau kaki berasa berat. Meskipun kebanyakan keadaaan benjolan itu tidak merbahaya, namun jangan ambil ringan dan sentiasa mengawasi tanda-tanda ini dan segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI