HUBUNGAN antara seorang lelaki dan wanita cukup kompleks sehinggakan adakalanya mereka sendiri sukar meneka apa yang bermain di dalam fikiran pasangan masing-masing. Kegagalan memahami pasangan akhirnya akan mencetuskan pertengkaran walaupun membabitkan hal remeh. Apabila bertengkar, perkataan kasar dan mengguris hati akan digunakan kerana emosi sedang memuncak - akibatnya pergaduhan lebih serius akan tercetus. ARTIKEL BERKAITAN: Rasa nak marah? Cuba tarik nafas dalam-dalam... Ini cara kawal rasa amarah, paling penting jangan abaikan emosi diri Bagi mencegah perkara ini daripada berlaku, seseorang itu harus lebih berhati-hati ketika bercakap dengan pasangan. Persoalannya, kata-kata yang bagaimana boleh mengguris hati dan perasaan pasangan anda? 1. "Saya tak pernah cakap pun" Ungkapan itu terdengar biasa tetapi ia kalimat yang boleh mendatangkan kemarahan. Apatah lagi apabila anda berpura-pura tidak tahu tentang perkara yang anda sendiri ucapkan dan apabila ditanya dibalas dengan ayat tersebut. 2. "Kenapa awak tak boleh jadi macam...?" Membandingkan pasangan ketika bertengkar mulut memang kerap terjadi. Jika ayat itu terkeluar daripada mulut, itu bermaksud salah seorang sedang 'melondehkan' kekurangan pasangan. 3. "Saya boleh dapatkannya di tempat lain" Ini adalah kalimat yang sangat melukakan hati kerana kita mengatakan bahawa pasangan tidak mampu memenuhi keperluan dan kehendak sehingga sanggup mencarinya di tempat lain. Apa yang lebih menyakitkan adalah mungkin pasangan sudah bekerja keras demi mengumpul wang bagi memenuhi permintaan pasangan. 4. "Ceraikan saya" atau "Biarkan saya pergi" Bagi seorang isteri jangan sesekali mengeluarkan dua kalimat ini di hadapan suami kerana ia bukan sahaja boleh mengguris perasaan tetapi egonya turut tercalar. Ia adalah ancaman kepada hubungan dan dua ayat ini seolah-olah mencabar kemampuan atau keberanian pasangan anda. Beremosi ketika dalam keadaan marah adalah perkara biasa tetapi jangan sesekali biarkan perkara itu menjadi rumit sehingga tiada cara boleh diselesaikan. Ada beberapa cara untuk meluahkan rasa marah terhadap pasangan seperti berjauhan untuk seketika, mendengar muzik atau besenam. Paling penting cuba bertenang dan jangan terlalu mengikut perasaan ketika dalam keadaan marah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI