suria

Jangan cepat ‘judgemental’, ada sebab mengapa pesakit kanser alami penurunan berat badan mendadak!

Terdapat pelbagai sebab mengapa pesakit kanser kehilangan berat badan secara drastik.

PADA 8 Jun lalu, penyanyi dan pelakon Allahyarham Adibah Noor berkongsi imej terbaharunya di Instagram yang dilihat semakin kurus berbanding sebelum ini.

Adibah ketika itu mendedahkan berjaya menurunkan berat badannya dalam tempoh dua bulan dan hanya memberitahu sedang menjalani diet untuk menjaga kesihatan disebabkan faktor usia.

Bagaimanapun, di sebalik penampilan baharunya itu, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu sebenarnya sedang melawan kanser ovari tahap empat hingga menghembuskan nafas terakhir pada 18 Jun lalu.

Kanser merupakan salah satu penyakit yang mempunyai kadar kematian tertinggi di dunia dan ia biasanya mempunyai gejala dan simptom tersendiri, berbeza mengikut jenis serta tahap kanser dialami.

Kanser Ovari

Kanser ovari adalah barah keempat paling biasa dalam kalangan wanita di Malaysia.

Kebanyakan kanser akan membentuk tumor iaitu sejenis ketulan yang terdiri daripada sel kanser. Sel ini juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain dan menjangkiti organ lain (metastasis).

Kebanyakan kanser menyerang secara perlahan dan senyap. Namun, ada juga kanser yang menyerang secara agresif.

ARTIKEL BERKAITAN: Sangka kurus sebab diet, Remy Ishak ‘terduduk’ dapat berita Adibah Noor meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya payudara tapi 5 kanser ini kerap 'serang' kaum hawa!

Bagi kanser ovari, wanita yang tidak memiliki anak atau bereproduksi pada usia lanjut memiliki risiko lebih tinggi mendapat kanser ovari. Penyakit ini disebabkan ketidakseimbangan hormon yang terjadi kerana pelbagai faktor.

Ia adalah kanser keempat yang paling biasa dalam kalangan wanita di Malaysia, yang biasanya memberi kesan kepada wanita berusia 40 hingga 60 tahun.

553

Adibah menunjukkan penurunan berat badan drastik.

Agak sukar mengesan kanser ini namun perlu berwaspada dengan beberapa gejala seperti perut membengkak, penurunan berat badan, mengalami masalah pencernaan, sakit perut dan punggung serta kerap membuang air kecil.

Sementara itu, pengasas dan pengerusi #MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz menjelaskan salah satu gejala kanser adalah penurunan berat badan yang mendadak.

Bagi kanser ovari, Dr Khairul menjelaskan penurunan berat badan disebabkan ketumbuhan tersebut membesar dan berdekatan dengan organ perut yang akan menekan perut dan menyebabkan pesakit rasa cepat kenyang dan makan dalam kuantiti sedikit.

Dalam pada itu, Dr Khairul turut menjelaskan terdapat beberapa penyebab lain yang membuatkan pesakit kanser mengalami penurunan berat badan secara mendadak. Ini termasuklah;

553

Golongan berisiko perlu membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan mereka bebas kanser.

1. Sel kanser menggunakan lebih banyak tenaga, jadi ia membakar lebih kalori daripada badan.

2. Badan pesakit sedang melawan sel kanser dan menghasilkan cytokine, iaitu hormon yang menganggu selera makan.

3. Sesetengah kanser menyebabkan pesakit sukar untuk makan atau menelan seperti kanser mulut.

4. Terdapat rawatan kanser yang menyebabkan rasa mual dan muntah seperti kimoterapi dan radiasi sehingga menyebabkan hilang selera makan.

"Jadi, apabila ada orang yang turun berat badan mendadak, janganlah bersikap judgemental dan buat andaian sendiri kerana mungkin seseorang itu adalah masalah kesihatan.

"Tidak semua orang mahu mendedahkan mereka sedang menghidap kanser," katanya menerusi Twitter.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain