DEBARAN penantian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 (SPM) terjawab apabila seramai 407,097 calon peperiksaan itu menerima keputusan masing-masing pada Khamis. Daripada jumlah itu, seramai 9,696 iaitu 2.54 peratus calon SPM 2021 memperoleh keputusan semua A dalam subjek yang diambil. Bagaimanapun, di sebalik itu, masih terdapat segelintir pelajar yang tidak mendapat keputusan seperti diharapkan sehingga merasakan ia adalah garisan penamat buat masa depan mereka. Tidak dinafikan, keputusan SPM sangat penting kerana ia boleh menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya seseorang dan menerusinya, mereka boleh membuat perancangan masa depan. Debaran semua calon SPM 2021 akhirnya terjawab apabila keputusan diumumkan pada Khamis lalu. Bagaimanapun Eksekutif Persatuan Kaunseling & Psikologi MARA (Pekamara), Mohd Shahid Ahmad, berkata, SPM bukanlah penamat sebaliknya masih terdapat cabaran yang perlu seseorang remaja itu hadapi pada masa depan. Jelas Mohd Shahid yang juga seorang kaunselor, ketika ini perkara yang perlu difokuskan adalah tentang perancangan dan bukannya mendahulukan emosi serta membuat perbandingan keputusan diperolehi. "Buat ibu bapa, jangan terlalu emosi dengan keputusan SPM anak anda, jangan bandingkan keputusan mereka dengan orang lain. "Zaman SPM mereka jauh berbeza cabarannya berbanding zaman sebelum ini termasuklah perlu berhadapan dengan pandemik, PdPR dan sebagainya," katanya menerusi Facebook miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! 9,696 calon SPM 2021 peroleh semua A ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah ponteng kelas, dua sahabat peroleh 9A+ Mohd Shahid turut menyenaraikan beberapa perkara untuk refleksi diri selepas mendapat keputusan SPM, termasuklah; 1. Hasil usaha semalam, adil untuk hari ini Keputusan hari ini adalah hasil usaha semalam. Apa yang diusahakan itulah yang diperolehi. Terimalah dengan seadanya. Paling penting bersangka baik dengan Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 2. Jika keputusan SPM tidak seperti diharapkan... Kata Mohd Shahid, percayalah hari esok akan sentiasa ada untuk mereka yang bangkit pada hari ini. Pelajar berhak berasa kecewa kerana kekecewaan itu adalah perkara yang perlu dilalui semua orang. Banyak orang hebat bermula dengan kecewa dan gagal. Rasa bangkit daripada gagal itulah pengalaman yang tiada bagi orang berjaya. 3. Raikan keputusan anda Berikan penghargaan kepada diri sendiri, orang terdekat dengan cara kongsikan kegembiraan itu bersama ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan serta guru. 4. Sesuaikan keputusan SPM dengan syarat IPTA/IPTS Apa sahaja keputusan SPM yang diperolehi, Mohd Shahid menasihatkan agar berjumpa dengan kaunselor atau pakar dalam bidang kerjaya dan pengajian selepas SPM. Ini penting kerana ramai dilihat salah memilih bidang pengajian di universiti meskipun mendapat keputusan cemerlang. 5. Masa depan masih panjang SPM adalah satu permulaan bukan garisan penamat. Masih banyak cabaran yang perlu pelajar hadapi. Mohd Shahid menasihatkan agar mereka bersabar dengan apa juga keputusan diperolehi dan tidak berputus asa untuk menggapai kejayaan. Ini kerana katanya, tiada perkara mustahil bagi orang yang rajin berusaha. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI