GANGGUAN saraf yang jarang berlaku iaitu sindrom sindrom Ramsay Hunt adalah salah satu penyebab wajah pesakit boleh menjadi lumpuh. Pun begitu, terdapat beberapa penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sebahagian otot di salah satu atau kedua-dua wajah menjadi lumpuh. ARTIKEL BERKAITAN: Justin Bieber diserang sindrom Ramsay Hunt, ketahui punca dan gejalanya Kelumpuhan pada wajah boleh disebabkan kerosakan saraf yang membawa signal dari otak ke otot muka atau sebaliknya. Berikut adalah beberapa penyakit atau keadaan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan ini. 1. Bell's Palsy Bell's Palsy adalah penyebab wajah menjadi lumpuh yang paling biasa berlaku. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh keradangan pada saraf wajah. Ia boleh diubati menerusi terapi fizikal untuk merangsang saraf pada wajah dan proses pemulihan akan mula menampakkan hasil selepas dua minggu. Bagaimanapun, keadaan wajah yang lumpuh memakan masa untuk kembali normal bergantung kepada keadaan saraf. 2. Angin ahmar Angin ahmar juga boleh menyebabkan wajah menjadi lumpuh namun biasanya ia memberi kesan di bahagian bawah wajah sehingga membuatkan bibir menjadi herot, sukar menelan, berkomunikasi selain lumpuh pada salah satu bahagian tubuh. Penyebab angin ahmar boleh disebabkan kerosakan atau pembuluh darah di bahagian otak pecah. Golongan yang berisiko terkena strok adalah mereka yang obesiti, kurang bergerak, jarang bersenam, pemakanan tidak seimbang, tabiat merokok dan sebagainya. 3. Tumor Wajah menjadi lumpuh boleh juga disebabkan oleh tumor otak yang biasanya akan menekan saraf wajah. Berbeza daripada penyebab lumpuh yang lain, keadaan ini biasanya berkembang secara perlahan-lahan tanpa sebarang gejala. Gejala yang perlu diberi perhatian untuk mengenal tumor otak adalah sakit kepala, kekejangan dan mengalami gangguan pendengaran. Penyebab lain wajah menjadi lumpuh juga boleh disebabkan jangkitan dalam otak, penyakit lyme, sarkoidosis atau trauma pada bayi ketika lahir. Jika wajah tiba-tiba menjadi lumpuh segera berjumpa dengan doktor terutamanya jika disertai dengan sakit kepala yang parah, kekejangan atau mengalami gangguan penglihatan. Doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mencadangkan beberapa ujian dilakukan untuk mengetahui penyebab masalah itu. Selain itu, doktor akan memeriksa keadaan fizikal, sejarah kesihatan serta melihat beberapa simptom lain selain ujian darah, CT Scan, MRI dan sebagainya bagi mengetahui punca sebenar. Selepas mengetahui puncanya, baharulah rawatan akan dijalankan seperti ubat-ubatan, pembedahan dan terapi fizikal. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI