BAHAGIAN pinggul adalah sendi yang menghubungkan antara dua tulang iaitu tulang paha dan tulang punggung. Sendi pinggul ini dibentuk sedemikian agar manusia dapat bergerak dengan lancar termasuk duduk, berjalan, berlari atau memutarkan badan. Namun terdapat keadaan ketika pinggul tumbuh secara tidak normal dan ia disebut sebagai displasia pinggul atau Developmental Dysplasia of the Hip (DDH) yang boleh berlaku selepas kelahiran. Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik dan Trauma daripada Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Maria Shelynn Wong menjelaskan bahawa displasia pinggul berlaku akibat perkembangan abnormal di sendi pinggul bayi dan kanak-kanak. Pakar dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak di Sunway Medical Centre Velocity (SMVC). Jelas Dr Maria, sendi pinggul ini terdiri daripada kepala femur (berbentuk seperti bola) dalam acetabulum (soket). Kebiasaannya bola dan soket ini terpasang dengan elok. Bagaimanapun katanya, dalam kes DDH, bola dan soket ini longgar sehingga boleh terjadi dislokasi (sendi pinggul terkeluar) ketika bayi atau kanak-kanak bergerak. "Perkembangan sendi pinggul bayi yang normal bergantung kepada posisi yang elok pada kepala femur dalam acetabulum (bola dalam soket). Sendi pinggul tidak akan tumbuh dengan baik jika posisinya tidak stabil dan akan menjadi abnormal sampai usia anak pandai berjalan," katanya kepada mStar. Bercakap lanjut mengenai DDH, Dr Maria berkata, keadaan ketidakstabilan sendi pinggul bayi itu berlaku kepada 1 dalam 100 kelahiran dan ia juga merupakan salah satu penyakit ortopedik yang biasa berlaku dalam kalangan bayi. Displasia Pinggul adalah perkembangan abnormal di sendi pinggul bayi dan kanak-kanak. Punca berlakunya DDH pada bayi Dr Maria menjelaskan kelainan tulang atau skeletal pada DDH terdiri daripada kelainan perkembangan acetabulum dan kepala femur namun punca sebenar terjadinya masalah ini tidak diketahui. Namun kata Dr Maria, terdapat beberapa faktor risiko yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang kepada DDH yang diantaranya adalah; ARTIKEL BERKAITAN: Tension headache paling kerap dialami rakyat Malaysia... Pakar kata boleh jadi punca tumor otak! 1. Bayi yang lahir dalam keadaan songsang 2. Bayi perempuan 3. Teknik membedung yang salah 4. Sejarah ahli keluarga yang mempunyai DDH 5. Kelahiran anak pertama 6. Ibu hamil dengan jumlah air ketuban yang sedikit (Oligohydramnios) 7. Kelahiran anak kembar. Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik dan Trauma daripada Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Maria Shelynn Wong. Sementara itu, Dr Maria menjelaskan penggunaan bedung juga sangat berkait rapat sebagai punca berlakunya DDH melalui teknik membedung yang salah (membalut kedua-dua kaki bayi dalam keadaan lurus.) Jelasnya lagi, DDH tidak dianggap sebagai penyakit kongenital kerana tulang di sendi pinggul sudah siap terbentuk ketika bayi dilahirkan. "Masalah DDH dalam kalangan bayi berlaku disebabkan faktor mekanikal yang mendorong ketidakstabilan sendi dan seterusnya menghalang perkembangan sendi pinggul yang normal," ujarnya. Bagi mengenal pasti bayi yang mengalami DDH, Dr Maria menjelaskan terdapat beberapa simptom yang boleh dikesan seawal enam bulan selepas bayi dilahirkan, seperti; Pesakit yang berusia dua tahun ini jelas kelihatan kaki kirinya pendek dan menjengket dan memerlukan pembedahan membetulkan kedudukan sendi pinggul. 1. Lipatan peha yang tidak simetri 2. Pergerakan sendi pinggul yang abnormal 3. Kesukaran untuk mengangkang kaki bayi ketika ingin menukar lampin. 4. Kaki yang terkesan dengan penyakit ini boleh dilihat lebih pendek atau bayi akan berjalan secara menjengket pada kaki yang terkesan. Tidak hanya DDH, Dr Maria juga menjelaskan penyakit itu sering dikaitkan dengan masalah tortikolis (kepala teleng), dislokasi lutut dan juga metatarsus adductus (keadaan di mana kaki terpusing ke dalam). Antara tanda jelas kanak-kanak mengalami masalah apabila berlaku kesukaran mengangkang kakinya ketika menukar lampin dan kangkangannya tidak simetri. Sekiranya masalah itu tidak dirawat segera, Dr Maria memberitahu kaki yang terlibat boleh menjadi pendek dan ianya akan memberi kesan terhadap cara berjalan serta kecenderungan untuk mendapat penyakit arthritis dan sakit belakang ketika meningkat dewasa akibat daripada panjang kaki yang tidak sama. Bagi sendi pinggul displasia yang tidak terkeluar, masih ramai pesakit yang hanya akan didiagnosis dengan displasia pinggul ketika mereka dewasa (usia 30-40an) dan memerlukan pembedahan athroplasti pinggul (hip replacement surgery) kerana tidak dapat dikesan semasa masih bayi. "Diagnosis awal (dalam jangka masa umur enam bulan) membolehkan anak anda mendapat plan rawatan yang biasanya tidak memerlukan pembedahan dengan bantuan penggunaan pavlic harness brace. "Namun begitu, bayi yang berusia enam bulan hingga dua tahun ketika diagnosis disarankan untuk menjalani plan rawatan pembedahan yang bergantung kepada tahap keseriusan masalah sendi pinggul mereka," ujarnya. Rawatan tidak memerlukan pembedahan iaitu pavlic harness braces (kiri) dan hip abduction brace. Perlu bedung atau pun tidak? Seperti dijelaskan, teknik membedung yang salah merupakan salah satu faktor risiko bagi DDH dan ia boleh berlaku apabila kedua-dua belah kaki ditarik selari dan kemudiannya dibalut ketat dengan kain. Dr Maria menjelaskan teknik yang salah ini boleh membuatkan sendi pinggu bayi terkeluar. "Membedung dikatakan membantu mengurangkan refleks terkejut bayi serta membantu anak untuk tidur lena. Tiada masalah untuk membedung bayi, tetapi ibu bapa harus memastikan pinggul dan kaki bayi tidak dipaksa untuk berada dalam posisi lurus dan tidak dibungkus dengan ketat. "Bayi boleh dibedung setiap masa jika teknik yang digunakan adalah betul dan selamat untuk pembentukan sendi pinggul bayi tersebut," jelasnya. X-ray menunjukkan kaki kiri pesakit pendek selain lipatan peha tidak simetri (kiri) dan pembedahan membetulkan posisi sendi pinggul dan pemakaian hip spica boleh dilakukan. Dr Maria menyarankan teknik membedung yang betul adalah apabila sendi pinggul dan kaki diletakkan di dalam posisi terbuka seperti kaki katak (frog leg). Ini kerana posisi ini dapat menggalakkan perkembangan pinggul bayi yang lebih sihat. Dr Maria turut menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai seperti International Hip Dysplasia Institute (IHDI) untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan dengan teknik-teknik selamat untuk membedung bayi serta jenis-jenis ‘baby carrier’ yang selamat untuk perkembangan sendi pinggul bayi mereka. "Sebuah kajian mengenai penduduk Amerika Utara, Jepun dan Turki menunjukkan peratusan kes displasia pinggul dapat diturunkan setelah mereka mendapat ilmu dan mengubah cara bedung tradisional (kaki lurus dan rapat) kepada cara menyelimuti kaki bayi dengan longgar (posisi kaki seperti kaki katak)," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI