suria

Cuba perhati 8 petanda ini pada anak, cegah dan rawat penyakit ‘mata malas’ seawal mungkin

Ibu bapa disarankan membawa anak menjalani pemeriksaan secara berkala untuk mengesan sebarang masalah penglihatan.

PERNAHKAH anda mendengar mengenai 'mata malas'?

'Mata malas' atau ambliopia adalah sejenis penyakit yang berlaku disebabkan terdapat halangan penglihatan dan perkembangan abnormal pada laluan mata ke otak.

Ambliopia dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku sejak lahir atau dari saat kanak-kanak mula menggunakan mata mereka.

Salah satu cara merawat masalah penglihatan adalah dengan memakaikan 'eye patch' pada sebelah mata.

Pakar Perunding Mata, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Fiona Chew Lee Min berkata, adalah menjadi satu cabaran untuk mendiagnosis ambliopia kerana kanak-kanak tidak tahu untuk mengadu tentang simptom yang dialami disebabkan mereka tidak tahu akan penglihatan yang normal.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kongsi jenis ubat titis mata dan kegunaannya, tersilap beli bukan sembuh tapi makin teruk

Apakah tanda-tanda yang menunjukkan seorang kanak-kanak itu mungkin mengalami ambliopia?

Menurut Dr Fiona, terdapat beberapa petanda jelas yang boleh dikesan oleh ibu bapa iaitu:

1. Kesukaran untuk melihat objek yang jauh,

2. Pergerakan mata abnormal

3. Juling

4. Postur kepala yang abnormal

5. Kerap terjatuh atau terlanggar objek

6. Mempunyai masalah penglihatan tiga dimensi seperti ketika turun tangga dan menyelesaikan susun suai gambar

7. Mengalami masalah tumbesaran yang lewat

8. Mengalami masalah berkaitan sukan atau kerja rumah

SMCV_Dr Fiona Chew Lee Min

Dr Fiona Chew Lee Min

Sementara itu, Pakar Perunding Mata dan Saraf Mata SMCV, Dr Lakana Kumar Thavaratnam berkata, ambliopia boleh diwarisi bagi penyakit yang boleh menyebabkannya seperti juling atau katarak.

"Petanda ambliopia yang ibu bapa perlu awasi adalah juling, di mana mata menghala ke dua arah yang berbeza atau tidak bergerak dalam koordinasi yang betul; kelainan refraksi mata (refractive errors) seperti rabun dekat, rabun jauh atau silau; kekaburan di bahagian mata yang selalunya jelas.

"Sebahagian kanak-kanak lahir dengan katarak; kelopak mata jatuh (droopy eyes) atau lebih dikenali sebagai ptosis dan alergik konjunktivitis yang boleh mengakibatkan kerosakan di kornea mata dan seterusnya menyebabkan ambliopia jika tidak dirawat dari awal," ujarnya.

Cara mendiagnosis ambliopia

Ambliopia boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination).

SMCV_Dr Lakana Kumar

Dr Lakana Kumar Thavaratnam

Kaedah rawatan ambliopia

Rawatan akan bergantung kepada penyebab ambliopia itu sendiri. Contohnya:

1. Refraksi mata - memerlukan pesakit untuk memakai kaca mata

2. Katarak, juling, kelopak mata jatuh dan masalah retina perlu dirawat dan selepas itu perkembangan visual mereka akan bertambah baik. Namun jika sebaliknya, pesakit mungkin perlu menjalani 'penalisation treatment' atau terapi dikoptik.

Ambliopia boleh dipulihkan dengan rawatan yang dilakukan awal.

Oleh itu ibu bapa digalakkan membawa anak-anak mereka untuk melakukan pemeriksaan mata setiap tahun.

Kanak-kanak disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia enam bulan, tiga tahun, enam tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenalpasti sebarang masalah mata.

Namun begitu, ambliopia akan menjadi semakin parah dan berkemungkinan untuk tidak dapat dipulihkan jika ianya tidak dirawat langsung.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mendiagnosis dan merawat ambliopia seawal mungkin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain