suria

Teringin payudara kencang dan montok! Dua sahabat nyaris maut terkena sawan, suami bocor rahsia isteri suntik ‘breast filler’ di rumah

Gara-gara menyuntik 'breast filler' sendiri di rumah, dua sahabat mengalami sawan dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Gambar hiasan

FRASA beauty is pain sememangnya begitu lazim digunakan, di mana ia memberi maksud seseorang sanggup menderita asalkan penampilannya kelihatan cantik pada pandangan mata orang lain.

Benar, mahu 'berhabis-habisan' untuk kelihatan cantik tidak salah, tetapi usahlah sehingga memudaratkan tubuh badan.

Lebih ngeri, terdapat kes di mana individu yang melakukan prosedur tertentu hampir menemui ajal kerana mengalami komplikasi.

Begitu juga dengan satu kes yang dikongsikan oleh seorang pakar perubatan kecemasan, Dr Ahmad Zakimi Abdullah di Facebook.

Menerusi perkongsian tersebut, Dr Ahmad Zakimi berkata kes yang dikendalikannya baru-baru ini adalah berkaitan dengan sawan selepas pesakit melakukan suntikan breast filler.

Menurut doktor tersebut, pada mulanya, seorang pesakit wanita dalam lingkungan usia 30-an mengalami sawan di rumahnya dan terpaksa dimasukkan ke zon merah.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba perhati 8 petanda ini pada anak, cegah dan rawat penyakit ‘mata malas’ seawal mungkin

"Pesakit masih lagi sawan walaupun dos kedua Valium diberikan. Maka kami ambil keputusan untuk lakukan intubasi ke atas pesakit. Pesakit ini perlu bantuan mesin pernafasan akibat sawan terlalu lama. Keadaan ini dipanggil 'Status Epilepticus'.

"Setelah siap semua proses intubasi dan keadaan pesakit sudah stabil, sawan pun berhenti.

breast 2

Prosedur untuk menyuntik 'breast filler' perlu dilakukan oleh doktor yang terlatih. Gambar hiasan

"Sejarah perubatan tentang pesakit diberitahu oleh suami pesakit. Beberapa penyiasatan darah dari makmal semuanya normal. Kami masih belum dapat punca pesakit ini sawan. Aku merancang untuk lakukan imbasan CT otak untuk pesakit ini.

"Setelah beberapa minit kemudian, seorang lagi pesakit tiba di zon merah. Pesakit itu berumur dalam pertengahan 20-an. Pesakit itu juga mengalami sawan," kongsinya.

Menurut Dr Ahmad Zakimi, pesakit kedua itu juga mengalami 'status epilepticus' kerana sawan sudah hampir sejam tanpa henti.

Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan, pesakit kedua rupa-rupanya adalah rakan kepada pesakit pertama yang mengalami sawan sebelumnya dan dimaklumkan, kedua-duanya diserang sawan ketika berada di rumah pesakit pertama.

Kita boleh dapat pengajaran dari kisah ini. Nak cantik boleh tapi jumpa dengan doktor yang terlatih. Nak cantik boleh tapi jangan binasakan diri sendiri.

DR AHMAD ZAKIMI ABDULLAH

PAKAR PERUBATAN KECEMASAN

"Kami rasa pelik kerana kedua-dua mereka mengalami masalah yang sama. Adakah mengalami ketoksikan? Atau apa?

"Banyak juga soalan tambahan yang aku tanya pada suami dia. Aku ada tanya apa kaitan antara isteri dia dengan kawan isteri dia tu, apa yang mereka sama-sama lakukan di rumah mereka.

"Sebenarnya tadi isteri saya dan kawan dia ni tengah buat sesuatu, doktor. Mereka tengah buat breast filler. Mereka buat sendiri-sendiri. Pakai inject.

"Maka si suami tunjuk gambar suntikan breast filler kit. Ada empat picagari yang berlabel Hyaluronic Acid gel, dikatakan untuk membesarkan payudara dan empat vial injeksi lignocaine 2% untuk ubat kebas (bias). 10 mls lignocaine 2% setiap vial," kongsinya.

Daripada cerita suami pesakit, dia memaklumkan isterinya menggunakan dua vial lignocaine 2% bagi sebelah payudara.

"Dua belah bermakna dia menyuntik empat vial lignocaine bersamaan dengan 40mls untuk ubat kebas sebelum suntik Hyalurolic acid sebagai filler. Mereka beli dalam talian saja dan dipelajari dari YouTube katanya," kongsi doktor itu lagi.

Daripada penceritaan suami pesakit pertama, doktor ini mengesahkan kedua-dua wanita tersebut mengalami 'lignocaine toxicity'.

zakimi

Dr Ahmad Zakimi Abdullah

"Sejurus prosedur suntikan itu dilakukan, kedua-dua pesakit mengalami gejala seperti kebas bahagian lidah dan bibir, kemudian pening dan berdebar-debar. Lebih serius kedua-dua pesakit itu mengalami sawan akibat dari lebihan dos lignocaine.

"Cara atau teknik pemberian pun aku tak pasti bagaimana. Betul atau tidak. Tak kena cara memang suntikan tersebut terus ke salur darah pun kita tak tahu. Sangat-sangat berbahaya.

"Prosedur ini sepatutnya dilakukan oleh doktor yang bertauliah dan terlatih sahaja.

"Kita boleh dapat pengajaran dari kisah ini. Nak cantik boleh tapi jumpa dengan doktor yang terlatih. Nak cantik boleh tapi jangan binasakan diri sendiri. For me, size doesn't matter at all," kongsinya lagi.

Sehingga kini hantaran tersebut meraih 910 shares di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain