suria

Bila waktu sesuai cerita tentang haid? Ini 8 panduan untuk ibu kongsi mengenai menstruasi dengan anak

Ibu tidak seharusnya menyembunyikan apa jua perkara mengenai haid daripada anak. Gambar hiasan

BAGI sesetengah orang, haid merupakan satu perkara yang dianggap tabu (taboo) untuk dibincangkan secara terbuka meskipun ia perkara normal yang dialami semua wanita.

Menstruasi atau haid adalah salah satu fasa yang dialami oleh anak gadis, menandakan dirinya sudah akil baligh.

Haid bermula sekitar usia 11 hingga 16 tahun dan secara purata antara usia 12 hingga 15 tahun, namun ada yang mengalami haid seawal usia sembilan tahun.

Justeru, adalah penting untuk mereka diberi pendedahan lebih awal mengenai perkara ini sebelum tubuh mengalami perubahan.

Menurut pakar seksologi, Dr Rajan Bhonsle, terdapat dua perkara yang perlu diberi penekanan iaitu seorang ibu tidak sepatutnya menyembunyikan apa jua perkara mengenai haid daripada anak lelaki mahupun perempuan.

Menurutnya lagi, waktu yang paling tepat untuk 'membuka cerita' tentang haid adalah apabila anak mula bertanya ataupun ketika anak berumur sembilan tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaum wanita sila ambil perhatian... Ketahui 6 jenis darah haid yang boleh jelaskan situasi kesihatan anda!

Sudah tentu ibu bapa runsing memikirkan cara atau pendekatan yang sesuai untuk berkongsi mengenai hal yang satu ini dengan anak-anak.

adlil

Adlil Rajiah banyak berkongsi ilmu keibubapaan di Facebook.

Seorang penulis buku genre keibubapaan (parenting), Adlil Rajiah berkongsi lapan panduan buat ibu bapa tentang bagaimana mahu 'membuka topik' haid dengan anak-anak:

1. Badan semua perempuan akan keluarkan telur pada setiap bulan. Tapi apabila tiada sperma yang datang bercantum dengan telur tersebut, maka tiada bayi yang terhasil, dan telur akan keluar dari badan bersama darah.

2. Apabila telur dikeluarkan, rahim akan membentuk lapisan dinding yang tebal dan lembut daripada sel-sel darah sebagai tempat untuk bayi. Namun jika tiada bayi terhasil, lapisan dinding akan 'runtuh' dalam bentuk darah melalui vagina dan darah yang keluar itu dipanggil haid.

3. Setiap individu akan mencapai fasa akil baligh. Orang lelaki akan keluar air mani, bersuara garau dan tumbuh bulu pada kemaluan. Sementara itu orang perempuan pula akan keluar darah haid, payudara membesar, dan juga tumbuh bulu pada kemaluan.

4. Perempuan yang sihat akan mengalami haid setiap bulan, di mana kebiasaannya berlarutan selama enam hingga tujuh hari. Sepanjang tempoh haid, orang perempuan tidak boleh menunaikan solat atau berpuasa.

haid 2

Haid bukan lagi sesuatu yang tabu ketika ini dan wajar diberi pendedahan awal kepada anak.

5. Untuk kebersihan dan kesihatan diri, orang perempuan perlu memakai pad untuk menampung darah haid supaya tidak terkena pada pakaian atau tempat lain.

6. Sepanjang tempoh haid, perempuan akan mengalami rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian perut dan pinggang, sekali gus menjadikan mereka kurang bertenaga dan menjejaskan 'mood' akibat perubahan hormon.

7. Haid adalah hal yang terlalu peribadi bagi perempuan tetapi ia bukan sesuatu yang memalukan, hina atau kotor. Golongan lelaki pula tidak sewajarnya menjadikan haid sebagai bahan lawak atau 'lucah'.

8. Haid bukan penyakit sebaliknya ia adalah normal dan menandakan seseorang perempuan itu sihat.

Tambah Adlil Rajiah, sekiranya anak bersedia untuk belajar lebih, disarankan untuk menggunakan gambar rajah anatomi tubuh lelaki dan perempuan untuk memberi penerangan, mengikut kesesuaian tahap kefahaman anak.

Semoga semuanya dipermudahkan untuk para ibu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain