suria

Isteri kena ada ilmu sebelum setuju poligami... Ini panduan sebelum ke mahkamah, elak menyesal kemudian hari!

Sungguhpun mengizinkan suami berpoligami, isteri perlu melengkapkan diri dengan persediaan sebelum hadir ke mahkamah untuk mengelakkan sengsara di kemudian hari.

URUSAN poligami perlu difahami secara menyeluruh oleh setiap pasangan, lebih-lebih lagi buat golongan isteri mengenai hak mereka.

Ini kerana kegagalan suami membahagikan hak sama rata boleh menyebabkan kesengsaraan si isteri seterusnya menjejaskan keharmonian institusi keluarga.

Menurut Peguam Syarie yang juga Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli, seseorang isteri yang mengizinkan suaminya berpoligami juga perlu melengkapkan diri sebelum hadir ke mahkamah ketika sebutan kes permohonan poligami.

"Saya nak kongsi kisah yang saya terpaksa lihat dan dengar dari tepi sahaja, sebab bukan kes klien saya. Ada satu pasangan suami isteri yang dipanggil di hadapan Hakim. Kes permohonan poligami yang difailkan oleh suaminya.

"Kes mereka tidak diwakili oleh mana-mana pihak. Yang jadikan saya stres adalah, keadaan wanita yang saya rasa isteri pertama lelaki tersebut, macam tak tahu apa-apa bila di hadapan Hakim.

isteri 5

Seorang suami perlu memahami secara menyeluruh sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami.

"Saya tahu, dia mungkin setuju untuk benarkan suaminya berpoligami. Saya pun tak kisah bab tu. Saya suka kalau laki yang nak poligami buat cara betul.

"Yang saya tak suka dan kesian adalah, wanita yang pergi ke Mahkamah tapi macam 'blur' dan tak tahu nak minta apa haknya," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa menang dalam ‘toxic relationship’, ini pengajaran kisah turun naik mahkamah Johnny Depp dan Amber Heard

Justeru berdasarkan situasi kes berkenaan, peguam syarie ini berkongsi panduan mengenai persediaan yang perlu dilakukan isteri apabila menerima permohonan poligami:

1. Jangan elak untuk pergi ke Mahkamah apabila dipanggil. Ini akan menyebabkan suami lebih 'bebas' di hadapan Hakim.

2. Apabila di hadapan Hakim, minta direkodkan Nafkah Diri mengikut keperluan

3. Minta direkodkan Nafkah Anak untuk anak-anak anda. Rekod ikut keperluan, bukan ikut ala kadar.

4. Penting juga untuk rekodkan Harta Sepencarian. Perlu ambil maklum, kes Harta Sepencarian adalah kes yang rumit di Mahkamah jika satu pasangan bercerai dan mahu buat tuntutan tersebut.

5. Namun bagi isteri yang dapat Tuntutan Poligami, anda diberi keistimewaan untuk minta Hakim 'declare' sebagai perintah, apa sahaja Harta yang suami anda ada sekarang sebagai Harta Sepencarian tanpa perlu bicara

Bahkan, anda boleh minta diisytiharkan 1/2 atau separuh bahagian milik anda walaupun suami yang beli 100 peratus.

isteri 2

Isteri disarankan untuk meminta Hakim merekodkan Nafkah Diri, Nafkah Anak dan Harta Sepencarian.

6. Kenapa penting rekod Harta Sepencarian ini? Meskipun suami beli 100 peratus rumah dan sediakan untuk anda, mungkin benar itu adalah Harta Sepencarian.

Tapi, jika tidak ada Perintah, andai berlaku kematian suami, rumah itu tetap dikira pusaka dan perlu dibahagi secara Faraid melainkan anda dapat Perintah Harta Sepencarian.

7. Jika suami meninggal dunia dan tidak rekod Harta Sepencarian, rumah dan segala harta itu akan dibahagi secara Faraid.

Jika anda ada anak, bahagian faraid anda adalah 1/8. Namun, jika suami anda berpoligami, mungkin dua isteri, bahagian anda akan menjadi 1/16.

8. Jika bercerai dan tidak rekod Harta Sepencarian, selepas cerai anda perlu melantik peguam bagi memfailkan Harta Sepencarian jika harta masih ada.

Fahmi juga menggalakkan golongan isteri meminta suami masing-masing menyediakan hibah takaful sebagai simpanan dan tinggalan jika berlaku kematian.

"Kesimpulannya, saya sangat berharap, perkongsian saya ini sampai kepada lebih ramai wanita. Jangan pergi ke mahkamah dalam keadaan yang anda tak tahu apa-apa. Rugi. Tersangat rugi," kongsinya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain