suria

Bukan sekadar masalah kulit, penderita ekzema disaran guna 3 tindakan asas ACT untuk kelegaan

Untuk mendapatkan kelegaan daripada AD, mulakan dengan perkara yang asas iaitu ACT (Ask, Care, Treat).

HARI Dermatitis Atopik (AD) Sedunia disambut pada tarikh 14 September setiap tahun.

Bagi kebanyakan orang, masalah kulit adalah perkara yang bersifat sementara dan mudah diuruskan tetapi bagi yang hidup dengan AD atau ekzema, ia menjadi beban yang terlalu berat untuk ditanggung.

AD sering dilihat sebagai masalah kecil, dan pesakit biasanya diberitahu bahawa ia hanyalah satu masalah kulit kerana ramai yang tidak faham betapa teruknya kesan yang dialami pesakit.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Dr Kartini Rahim, pesakit bukan sahaja berdepan masalah yang terlihat secara fizikal, malah ada yang turut menjadi mangsa cemuhan orang sekeliling.

AD1

Pakar Perunding Dermatologi, Dr Kartini Rahim.

"Gejala AD boleh sengsarakan pesakit. Kegatalan kulit menyebabkan mereka berjaga sepanjang malam, tidak dapat berehat dan menjejaskan keupayaan untuk belajar atau bekerja dengan cekap.

"Kulit yang radang dan berair boleh melekat pada rambut atau baju, yang menyakitkan atau berdarah apabila ia ditarik. Kulit yang kering, mengelupas atau bersisik membuatkan pesakit berasa malu, kurang keyakinan diri dan menjadi mangsa cemuhan yang cukup menyinggung perasaan.

"Ini adalah sebahagian daripada pelbagai isu yang perlu dihadapi oleh pesakit AD setiap hari jika keadaan mereka tidak diuruskan dengan baik," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Derita ekzema sejak lebih 15 tahun lalu.... gadis tanggung rasa sakit yang sukar digambarkan, tiap malam tidur terganggu!

Pada masa ini, kurangnya pemahaman tentang AD menjadi halangan utama kerana timbul banyak salah faham terhadap keadaan ini. Sesetengah orang melihatnya sebagai masalah akibat tidak menitikberatkan penjagaan kebersihan, sementara yang lain pula bimbang ia berjangkit.

Ini mencetuskan keadaan yang sukar khususnya pada kanak-kanak, yang mungkin berasa didiskriminasikan oleh kawan-kawan dan rakan sekolah.

ad3

Kulit yang kering, mengelupas atau bersisik membuatkan pesakit berasa malu, kurang keyakinan diri dan menjadi mangsa cemuhan. -Gambar hiasan

Tambah Dr Kartini, pesakit mesti memahami bahawa AD adalah masalah multidimensi dan mereka perlu bersedia melakukan perubahan secara holistik untuk meringankan gejala fizikal dan emosi.

Untuk mendapatkan kelegaan daripada AD, mulakan dengan perkara yang asas iaitu ACT (Ask, Care, Treat)

1. Ask (Minta nasihat perubatan)

AD adalah keadaan yang kompleks dan sukar untuk didiagnos dengan betul oleh orang yang tidak terlatih. Sesetengah pesakit menjalani rawatan kendiri, mengharungi fasa kekecewaan dan penderitaan selama bertahun-tahun sebelum masalah mereka didiagnos, maka sangat penting untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor yang berpengalaman atau pakar dermatologi yang bertauliah.

Memandangkan AD adalah masalah yang biasa pada kanak-kanak, dengan anggaran prevalens (kelaziman) sebanyak 20.9 peratus, ibu bapa harus membawa anak mereka berjumpa doktor sekiranya si anak mengalami kerengsaan atau keradangan kulit yang tidak hilang.

2. Care (Penjagaan yang betul)

Menguruskan AD bukanlah perkara yang rumit, tetapi ia memerlukan disiplin. Selepas didiagnos, mungkin perlu menggunakan produk penjagaan diri atau pakaian yang berlainan untuk mengelakkan bahan-bahan yang mungkin mencetuskan gejala. Mengelakkan perengsa seperti bahan cuci yang kuat sifatnya akan membantu mengurangkan cetusan gejala yang mengambil masa berhari-hari atau minggu untuk pulih.

1 (1)

Penyakit ini boleh muncul pada peringkat umur yang berbeza dengan pencetus yang berbeza juga.

Oleh kerana gejala AD juga boleh menjejaskan emosi pesakit, maka mempunyai jaringan sokongan yang terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan serta menyertai kumpulan pesakit seperti Persatuan Ekzema Malaysia dan Malaysian Eczema Support Community adalah sangat penting untuk mendapatkan sokongan emosi.

3. Treat (Rawat dengan cara tepat)

Pengalaman AD bagi setiap pesakit biasanya tidak sama. Ia boleh muncul pada peringkat umur yang berbeza dengan pencetus yang berbeza juga. Inilah sebabnya mengapa doktor dan pesakit perlu bekerjasama untuk menentukan strategi rawatan yang paling berkesan.

Ia biasanya merangkumi kombinasi pelembap atau emolien, steroid topikal dan imunomodulator topikal, yang membantu mengawal tindak balas imun kulit. Rawatan lain mungkin turut menggunakan steroid oral atau suntikan, atau imunosupresan, antibiotik, fototerapi atau rawatan yang lebih khusus.

Antara rawatannya ialah terapi biologik, yang membantu mengurangkan keradangan yang mencetuskan serangan AD. Terapi biologik ini adalah pilihan rawatan yang agak baharu, tetapi ia didapati membantu pesakit yang mengalami AD tahap sederhana ke teruk yang menunjukkan kejayaan terhad menggunakan bentuk rawatan lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain