suria

Ajar menjerit! Ibu bapa kena terap ilmu asas kepada anak elak diculik, jangan mudah mesra

Ajar anak-anak untuk menjerit jika berhadapan bahaya.

BARU-BARU ini tular beberapa insiden yang mendakwa murid sekolah hampir diculik, malah kejadian dilaporkan berlaku di beberapa negeri antaranya Perak, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Siasatan polis mendapati dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah didapati palsu serta sengaja direka oleh pelajar terlibat.

Namun Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan ia akan diteliti daripada segenap sudut kerana secara umumnya kanak-kanak bersikap jujur.

Pun begitu, insiden seumpama itu tidak sewajarnya dipandang enteng kerana ia berkemungkinan berlaku di mana-mana sahaja seperti ketika anda sekeluarga sedang bercuti.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tragedi’ roller coaster, ibu trauma pulang bercuti! Anak kecil nyaris diculik wanita asing berselubung kain putih

Anda semestinya tidak dapat melupakan tragedi ngeri melibatkan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang berlaku 15 tahun lalu selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju Kuala Lumpur.

Mengimbau kejadian menyayat hati itu, ibu bapa semestinya berasa bimbang jika kejadian tersebut menimpa keluarga mereka.

Justeru, kanak-kanak perlu diajar tentang langkah menanganinya jika berhadapan situasi mencurigakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penculikan sekali gus menyelamatkan nyawa berharga!

Kejadian penculikan dilaporkan di beberapa negeri membabitkan murid sekolah.

Kejadian culik dilaporkan di beberapa negeri membabitkan murid sekolah.

Menerusi perkongsian theAsianparent, terdapat beberapa tip yang boleh diajar kepada anak-anak dan pada masa sama melatih diri mereka untuk menjadi lebih peka pada persekitaran:

1 - Tidak salah jika mereka menjerit atau berteriak “Tidak!” ketika mereka berada dalam bahaya. Kanak-kanak perlu melakukan apa sahaja untuk menarik orang ke arah mereka dan meminta bantuan.

2 - Berkumpul di kawasan tertentu jika mereka tersesat, terutamanya apabila anda pergi ke tempat baru.

Kemudian, beritahu anak untuk berada di satu tempat sehingga anda datang untuk menjemputnya.

Jadikan ia lebih mudah bagi mereka untuk ingat dengan menunjukkan apa-apa mercu tanda tertentu yang dekat.

3 - Mengingati maklumat penting seperti nombor telefon anda, nombor kenalan rakan anda dan alamat anda.

4 - Tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Kanak-kanak tidak boleh cuba mesra dengan orang yang mereka tidak tahu sebarang maklumat.

5 - Beritahu anak anda maklumat pegawai polis tempatan dan keluarga lain dengan anak-anak boleh dipercayai. Orang-orang ini dapat membantu anak-anak anda jika keadaan kecemasan berlaku atau jika mereka tersesat.

6 - Tidak memasuki kereta atau menemani seseorang yang tidak mereka kenali walaupun orang asing itu meminta bantuan.

7 - Menjadi terbuka kepada anda jika seseorang yang mereka tidak kenal telah mendekati mereka, walaupun anak anda diancam untuk tidak bercerita.

Jelaskan kepada anak anda bahawa mereka tidak akan menghadapi masalah dan anda berada di sini untuk melindungi mereka.

8 - Tidak mendedahkan lokasi mereka dalam tetapan telefon bimbit melalui pelbagai aplikasi atau orang, dan tidak mendedahkan nombor mudah alih mereka di Internet.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain