MESKIPUN kes jangkitan Covid-19 di dalam mahupun luar negara sudah terkawal, namun suntikan vaksinasi masih ditekankan kepada individu yang belum pernah mengambilnya termasuk pesakit kanser. Menurut badan amal penjagaan kesihatan British Macmillan Cancer Support, penghidap kanser seharusnya mendapatkan vaksin Covid-19 dan segera mendaftar sama ada sebelum, semasa atau selepas rawatan kanser dilakukan. "Vaksin Covid yang tersedia boleh diberikan kepada mereka yang sedang menjalani rawatan kanser kerana ia bukanlah vaksin 'hidup'. "Malahan ia tidak mengancam pesakit yang mempunyai tahap imuniti rendah atau berkurangan," katanya sambil menambah, vaksin menyelamatkan nyawa dan membantu mengurangkan kes kemasukan ke hospital akibat jangkitan wabak Covid. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai takut dibedah, kononnya vaksin Covid-19 beri reaksi negatif kepada prosedur anestesia... Ini penjelasan pakar Kata badan amal itu lagi, pengambilan vaksin sebelum rawatan kanser akan membolehkan pesakit mendapatkan perlindungan yang lebih baik. Nasihat itu diberikan susulan terdapat pesakit yang menyuarakan kebimbangan kerana mereka akan menjalani rawatan sama ada menerusi kaedah kemoterapi atau radiasi yang diketahui boleh melemahkan sistem imunisasi. Ini bermakna jika pesakit dijangkiti coronavirus atau selesema, sebagai contoh, mereka mungkin mendapat serangan yang lebih teruk, walaupun dalam tempoh selepas terapi kanser. Pesakit kanser boleh mendapatkan vaksinasi dengan virus yang tidak aktif semasa rawatan. Perkara sama turut dipersetujui Pusat Penyelidikan Kanser Jerman (DKFZ), namun pesakit perlu mendapatkan konsultasi rawatan sama ada boleh mendapatkannya semasa rawatan atau tidak. Malah katanya, ia bergantung kepada jenis vaksin Covid-19 yang ditawarkan. "Pesakit kanser boleh mendapatkan vaksin vektor atau mRNA terhadap Covid-19 semasa terapi dilakukan. Ini termasuk vaksin daripada AstraZeneca/Oxford dan CanSino (vektor virus), serta Pfizer-BioNTech dan Moderna (mRNA). "Mereka juga boleh mendapatkan vaksinasi dengan virus yang tidak aktif semasa rawatan kanser, yang termasuk influenza atau ubat batuk kokol," jelasnya. Dalam pada itu, ujarnya, keberkesanan vaksinasi mungkin lebih rendah bergantung pada kekuatan sistem imun pesakit terbabit. Ini kerana, semasa rawatan kanser, terdapat hanya satu kumpulan vaksin yang perlu dielakkan dan itu adalah 'vaksin hidup', yang termasuk suntikan terhadap beguk, campak dan rubella (MMR). "Jadi, jika pesakit berhasrat untuk mengemas kini suntikan 'vaksin hidup', mereka dinasihatkan untuk menunggu sehingga rawatan terapi tamat. "Sebaik-baiknya beri peluang sistem imun pulih selepas rawatan kanser," katanya. Tambah DKFZ, seandainya vaksin tidak aktif, sebaiknya tunggu selama tiga bulan, manakala tempoh enam bulan untuk mendapatkan vaksin hidup. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI